Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. perkenan pembubaran Parlimen Ke-14 hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri pada jam 3 petang tadi.

‘Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Serentak itu,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum, meskipun beberapa buah negeri telah
memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Katanya, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Ismail Sabri menegaskan, dengan pengumuman itu mandat akan dipulangkan kepada rakya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan.

“Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Proses itu berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja  Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” Katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast