Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Pemimpin dan jentera Pemuda UMNO Pasir Gudang yakin dan telah bersedia untuk merampas semula Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan (PH)

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang Azleen Ambros berkata, moral dan motivasi Pemuda UMNO kini berada pada tahap begitu tinggi untuk untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) pada bila-bila masa sahaja.

“Dilorongkan Allah SWT segala kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian dengan sempurnanya mesyuarat perwakilan yang telah diadakan dengan jayanya pada Sabtu lalu.

“Pastinya mesyuarat kali ini diadakan dalam suasana yang begitu bersemangat.Dalam mempersiapkan pimpinan dan jentera Pemuda bagi berdepan dengan PRU-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya menurusi kenyataan media hari ini.

Azleen juga optimis UMNO dan Barisan Nasional (BN)  Parlimen Pasir Gudang dapat dikembalikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semula.

“Kami bersiap siaga menunggu semboyan perjuangan dibunyikan dalam misi untuk merampas semula Parlimen Pasir Gudang daripada musuh agar ianya kembali ke pangkuan yang hak iaitu kepada UMNO dan Barisan Nasional,”katanya.

“Moga kemenangan dan kejayaan menjadi milik kita dalam PRU-15 kelak, in sha Allah,”katanya.

PRU lalu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kalah di parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Ketika itu, Khaled ditewaskan Hassan Karim dengan majoriti besar 24,726 undi. – MalaysiaGazette