Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas Mesyuarat Khas PAS di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kenyataan hasil mesyuarat Pas yang diadakan hari ini akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Saya tak boleh jawab. Kita serah pada Datuk Seri Takiyuddin. Nanti tanya dia,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Beliau antara pemimpin Pas yang keluar awal selepas mesyuarat Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Ditanya adakah Terengganu akan dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak, Menteri Besar itu berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia.

Mengenai keputusan Pas sama ada akan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) parti itu tidak berputus asa akan terus mencuba, katanya.

“Pas masih istiqamah ke arah penyatuan ummah,” katanya ringkas.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad pula enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat yang diadakan hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berjalan keluar selepas Mesyuarat Khas PAS di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2022.

“Tak ada bincang apa-apa. Saya nak cepat ke Pulau Pinang, ada hal,” katanya ketika ditanya wartawan.

Hari ini, semua pimpinan Pas, kecuali presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, media yang menunggu di luar pejabat Pas, kecewa apabila dimaklumkan Takiyuddin sudah meninggalkan bangunan itu menerusi pintu belakang.

MalaysiaGazette cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab.

Mesyuarat itu dikatakan membincangkan dua perkara besar iaitu mengenai keputusan membubarkan tiga DUN bawah pentadbiran Pas dan keputusannya sama ada akan bersama UMNO dalam MN atau kekal dengan parti Bersatu. – MalaysiaGazette