Sheikh Umar Bagharib Ali

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin DAP Johor menyeru agar tiada pihak sewenang-wenangnya mengheret titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung penukaran hari cuti hujung minggu di Johor dengan menyifatkannya sebagai ‘peninggalan penjajah’.

Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan, sekiranya alasan itu digunapakai, adakah pihak terbabit turut menyatakan bahawa sistem beraja di negara ini sebagai mewarisi peninggalan penjajah juga.

“Bagaimana pula dengan amalan sistem demokrasi dan pilihan raya?

“Bagaimana dengan sistem Parlimen? Tidakkah ini semua diwarisi penjajah?

“Jadi, saya ingin bertanya, apakah mesej sebenar yang anda ingin cuba sampaikan kepada masyarakat?” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menerusi kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata demikian dipercayai membidas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya apabila mendakwa, cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.

Beliau selari dengan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang tidak bersetuju cuti mingguan di Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Yang Dipertua Pas Kawasan Johor Bahru itu berkata, sekiranya kerajaan negeri sudah nekad untuk menukar cuti mingguan di Johor atas desakan ekonomi, beberapa perkara dicadangkan bagi mengekalkan budaya Johor terus dimartabatkan.

Menurut Sheikh Umar Bagharib, sememangnya ada cabaran yang perlu diatasi berkaitan penukaran tersebut memandangkan Johor mengamalkan cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh menjadi lesen kepada mana-mana pihak dengan semudah-mudahnya memanipulasi perlaksanaan cuti Sabtu dan Ahad ini dengan konotasi negatif.

“Kita harus ingat, bukan segala perkara yang ditinggalkan oleh penjajah atau apa-apa juga pengamalan golongan terdahulu sebagai suatu yang tidak baik.

“Ambillah pengajaran dari hadis “Hikmah itu adalah barang yang hilang dari orang mukmin, ambillah ia jika kalian temui”.

“Meski ramai ulamak menyatakan hadith ini sebagai lemah, namun umum nas-nas dari Al-Quran dan Hadith yang lain telah menyokong intipati hadith ini yang membawa maksud; Apa sahaja perkataan atau tindakan yang bermanfaat meskipun bukan dari tradisi Islam, tetap boleh digunapakai asal ia tidak bercanggah dengan nas.

“Jadi, sekiranya kita bimbang penukaran hari cuti dari Jumaat kepada Ahad seakan-akan menghakis ‘keIslaman’, itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam hal berkenaan, tidak dibimbangi kerana titah Pemangku Sultan Johor cukup jelas agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk orang Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast