Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

KOTA BHARU – PKR tidak wajar memberi kata dua kepada UMNO untuk memilih sama ada kekal bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu sendiri dilihat menumpang kekuatan UMNO, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, PKR sepatutnya melihat kedudukan serta jumlah kerusi yang dimiliki parti berkenaan berbanding UMNO sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran terhadap rakan dalam kerajaan.

“PKR nak beri amaran kepada UMNO, berapa kerusi dia ada? UMNO lagi besar daripada dia. Tak sepatut PKR bertindak semacam itu. Dia (PKR) menumpang pada UMNO, kekuatan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Pas Pusat pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, setiap parti dalam kerjasama politik perlu menghormati hak dan pendirian parti lain lebih-lebih lagi apabila UMNO dan PKR bukan berada dalam satu gabungan politik.

“Dalam persepakatan politik, biasanya kita saling menghormati. Sebab itu saya rasa UMNO sangat tidak selesa dengan tindakan-tindakan yang dibuat oleh pihak-pihak komponen bersama, termasuk PKR, termasuk DAP dan sebagainya.

“Setiap parti ada hak sendiri dan sekiranya dia bertindak untuk menegur parti lain dalam komponen, saya rasa ini sangat tidak beradab,” ujarnya.

Tuan Ibrahim mengulas desakan Naib Ketua Pemuda PKR, Nabil Halimi, supaya UMNO menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mahu terus bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong PN.

Desakan itu susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang berpandangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar diadakan lebih awal.

Mengulas gesaan pemimpin DAP supaya Peguam Negara meneliti semula 47 pertuduhan yang membabitkan Ahmad Zahid, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa, keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan modal politik.

“Dalam kes yang mahkamah, biarlah mahkamah tentukan. Tak perlu politik campur tangan dalam urusan yang ada pada mahkamah” tambahnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim sekali lagi mencadangkan supaya PRU16 diadakan segera susulan keadaan politik dalam kalangan parti kerajaan yang disifatkannya semakin tidak stabil.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat apabila serangan antara parti dilakukan secara terbuka, malah isu berkaitan peruntukan kementerian turut menjadi polemik.

Sementara itu, mengulas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta, Tuan Ibrahim menyifatkannya sebagai keputusan tepat yang wajar disokong.

“Bila dipakai pakaian baju oren, digari dan sebagainya, seolah-olah mereka sudah bersalah.

“Kita tidak boleh aibkan seorang yang baru dituduh dan baru pergi mahkamah untuk sambung reman sahaja” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here