SHAH ALAM – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi menumpukan usaha di kawasan terakhir rakyat Malaysia itu dilaporkan berada, selain membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai pasukan penyelamat negara berkenaan.
Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 8.50 pagi ini menggunakan pesawat A400M Atlas milik TUDM.
Dimaklumkan pesawat berkenaan membawa 11 anggota SMART bersama 31 kru TUDM.

Misi TUDM diketuai Leftenan Kolonel Phanom Achuan selaku Mission Commander merangkap juruterbang, manakala SMART diketuai Komander Kontinjen, PgKB 1 Abdul Manaf Che Isa.
Turut hadir pada sesi pelepasan ialah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, serta Ketua Penolong Setiausaha Jabatan Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Choo Hwai Jeng sebagai wakil kementerian berkenaan.
Sekumpulan media diberi kebenaran khas membuat liputan pergerakan pasukan di pangkalan berkenaan seawal 7 pagi, termasuk persiapan anggota dan aset sebelum pesawat berlepas.
Bercakap kepada wartawan selepas sesi pelepasan, Meor Ismail berkata, lokasi penugasan SMART hanya akan diketahui selepas pasukan itu tiba di Nepal.
Menurutnya, lokasi dan spesifik penugasan akan ditentukan pihak berkuasa kerajaan Nepal berdasarkan keadaan dan keperluan di lapangan.

“Lokasi penugasan hanya akan diketahui apabila SMART tiba di Nepal. Lokasi dan spesifik penugasan akan ditentukan pihak berkuasa Kerajaan Nepal berdasarkan keadaan dan keperluan. Difahamkan kita akan lokasi terowong,” katanya.
Atur gerak SMART dilaksanakan berteraskan prinsip kemanusiaan antarabangsa iaitu kemanusiaan, kesaksamaan, berkecuali dan kebebasan, dengan keselamatan anggota menjadi keutamaan sepanjang penugasan.
Beliau berkata, atur gerak SMART adalah bagi menyokong operasi yang diterajui pasukan penyelamat Nepal dan memerlukan kepakaran teknikal.

Menurut beliau, tempoh operasi dianggarkan selama 10 hari bermula hari ini.
Menurut Meor Ismail, walaupun jumlah anggota yang diatur gerak kecil, SMART dibentuk dengan kepakaran pelbagai merangkumi mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.
Bagi menyokong operasi, pasukan itu membawa kira-kira 12.4 tan peralatan, termasuk peralatan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas penyelamatan terowong.
Turut dibawa sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan.
Sementara itu, Abdul Manaf berkata, misi SMART ke Nepal jelas berteraskan kemanusiaan dengan pasukan membawa beberapa peralatan khusus bagi persediaan operasi penyelamatan.
“Kami membawa beberapa peralatan khusus bagi tujuan persediaan penyelamatan, termasuk peralatan tunnel rescue, komunikasi serta peralatan berkaitan perubatan dan kesejahteraan,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang ramai mendoakan pasukan SMART dapat melaksanakan misi berkenaan dengan sebaiknya.
“Mohon doakan pasukan kami berjaya pada misi kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















