INSTITUT Pengajian Tinggi (IPT) sudah mulai menerima kemasukan mahasiswa bagi sesi pengajian 2022/2023. Sudah pasti sesi pengajian kali ini amat ditunggu-tunggu kerana semua mahasiswa akan masuk secara fizikal ke kampus semula setelah dua sesi sebelum ini secara atas talian disebabkan wabak pandemik Covid-19. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan kembali kepada kaedah bersemuka. Namun demikian, mungkin akan terdapat beberapa kursus yang masih mengekalkan kaedah secara atas talian dan hibrid.
Walau dalam keadaan apa sekalipun, para mahasiswa perlu juga menyiapkan diri dengan persediaan yang secukupnya sama ada intelek, fizikal, emosi dan spiritual untuk proses pembelajaran di IPT. Bagi mahasiswa yang baharu, harus diingat bahawa persekitaran pembelajaran di IPT sudah pasti sangat berbeza berbanding di alam persekolahan dahulu seperti cara pembelajaran, cara menguruskan kehidupan, cara pergaulan dan sebagainya. Jika dahulu teacher-centered, tetapi kini student-centered. Jika dahulu peraturan sekolah yang ketat, tetapi kini pelajar bebas mengatur kehidupan di kampus. Jika dahulu pergaulan masih lagi dibatasi dengan peraturan dan pengawasan ibubapa, tetapi kini mereka sudah mula mencari rakan dengan pemantauan yang sangat minimum oleh ibu bapa.
Dalam menghadapi sesi pengajian yang baharu ini, beberapa perkara harus diberi perhatian oleh para mahasiswa untuk lebih berjaya.
1. Niat dan matlamat yang jelas
Mahasiswa perlu memiliki niat dan matlamat yang jelas untuk beroleh kejayaan yang cemerlang. Mereka perlu pasakkan dalam minda bahawa mereka boleh berjaya dengan memperolehi keputusan yang cemerlang. Niat dan matlamat ini boleh memandu mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehinya. Secara praktikalnya, mahasiswa boleh menulis matlamat mereka dengan jelas dan dilekatkan di bilik atau almari pakaian mereka. Setiap hari, mereka akan melihat matlamat tersebut. Secara tidak langsung ia boleh memberi motivasi kepada mereka untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak leka dengan kebebasan yang mereka kecapi ketika berada di kampus.
2. Komited dengan pembelajaran dan tugasan yang diberi
Amat penting bagi mahasiswa untuk sentiasa komited dengan setiap kelas dan sesi pembelajaran yang diadakan. Bukan sahaja kelas, tugasan yang diberi juga perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh mereka. Antara permasalahan yang berlaku di kalangan mahasiswa adalah tidak menghantar tugasan pada waktunya ataupun menghantar tugasan pada saat-saat akhir sehingga kualiti tugasan tersebut tidak seperti yang dikehendaki. Oleh itu, mahasiswa perlu letakkan dalam jadual kelas mereka berserta tarikh-tarikh penting tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Jika perlu, adakan senarai tugasan bagi setiap kursus atau subjek dan letakkan di tempat yang mudah dilihat supaya tidak terlepas pandang terutama tarikh akhir tugasan.
3. Berkomunikasi dengan pensyarah
Antara kunci kejayaan mahasiswa adalah komunikasi yang baik dengan pensyarah. Jika kelas dilaksanakan secara bersemuka, gunakan masa tersebut untuk beri perhatian semasa kuliah berlangsung dan seterusnya bersoal jawab dengan pensyarah. Dalam keadaan secara atas talian pun, komunikasi dengan pensyarah perlu diberi perhatian. Pelbagai platform dan aplikasi yang boleh digunakan seperti whatsapp, telegram, Facebook dan sebagainya. Komunikasi antara pensyarah dan mahasiswa boleh meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang sesuatu topik, membina hubungan yang baik antara kedua-duanya, membantu mahasiswa menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi dan sebagainya. Mahasiswa boleh menanamkan sikap untuk bertanya sekurang-kurangnya satu soalan setiap kali sesi pembelajaran walaupun pada tanggapan mereka soalan tersebut mudah dan biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang soalan tersebut boleh juga membantu menambahkan kefahaman rakan-rakan yang lain.
4. Pemilihan rakan yang membantu untuk berjaya
Antara cabaran bagi mahasiswa di IPT adalah memilih rakan yang betul-betul boleh membantu dirinya untuk berjaya. Banyak kawan tidak ada masalah. Masalah akan timbul jika memilih rakan yang tidak menolong diri kita untuk cemerlang. Kebanyakan mahasiswa akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan jika melibatkan aktiviti-aktiviti seperti main video game, keluar dan melepak di supermarket serta terlalu fokus dengan program kokurikulum sehingga mengabaikan aspek akademik. Kini, telah wujud permainan-permainan terutama online video game yang boleh melalaikan mahasiswa jika mereka sudah terjebak. Justeru, rakan yang baik akan sentiasa membantu mahasiswa untuk berjaya dengan cemerlang, mengajak melakukan aktiviti yang bermanfaat serta tidak menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia. Mahasiswa perlu ada inisiatif untuk wujudkan kumpulan belajar (study group) agar dapat belajar dengan lebih konsisten.
Dalam tempoh ini, sudah pasti banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh mahasiswa terutama mahasiswa yang baharu dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan pengajaran dan pembelajaran di IPT. Tambahan pula, jika sebelum ini mahasiswa sudah terbiasa dengan pembelajaran atas talian, sudah pasti sesi pengajian kali ini yang dijalankan secara bersemuka akan memberikan cabaran untuk mereka adaptasi aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara fizikal pula. Persediaan yang ampuh perlu diberikan perhatian agar mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan jayanya dan efektif.
Oleh: Ts. Dr Rozaini Bin Othman
Koordinator Program
Diploma Kejuruteraan Mekanikal
UiTM Cawangan Pulau Pinang