Kawasan Kampung Petaling Bahagia. Foto Polis Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Paras air Sungai Klang dan kawasan-kawasan berhampirannya masih terkawal dan selamat, kata Polis Kuala Lumpur menerusi akaun Facebook.

Kawasan Kampung Petaling Bahagia yang terletak berhampiran Sungai Klang masih dalam keadaan terkawal.

Tiada banjir dilaporkan di Sungai Keroh, Segambut dan tidak ada takungan air di Jalan Sentul Manis.

Bacaan air sungai juga masih di bawah paras bahaya di Sungai Batu Kampung Kasipillai, Sentul.

Paras air Sungai Klang berhampiran Sri Pantai, Kuala Lumpur. Foto FB Polis KL

Katanya, keadaan air turut terkawal di Sungai Klang berhampiran Blok 100, PPR Sri Pantai.

Di Putrajaya pula, keadaan hujan renyai dan tidak menyebabkan banjir kilat.

Terdahulu pada pagi tadi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuat naik amaran paras aras air sungai berada peringkat bahaya susulan hujan lebat pagi tadi sekitar Lembah Klang.

Menerusi akaun Facebooknya, beliau berkata, Lembangan Sungai Klang, Sub Lembangan Sungai Gombak dan Stesen Sungai Gombak di Jalan Tun Razak berada pada paras 31.21 meter/31.00 meter.

Beliau meminta orang ramai membawa kenderaan berhati-hati terutama ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor yang mengalami hujan lebat pagi ini.

Sementara itu, Pusat Kawalan SMART JPS memaklumkan sistem telah kembali kepada Mode 1 pada jam 9,30 pagi tadi.

Jumlah kadar air Sungai Klang – Sg.Ampang telah dilencongkan adalah sebanyak 1,743,923 meter padu.
Malah terowong SMART juga sudah dibuka kepada trafik sejam yang lepas.  – MalaysiaGazette