KUALA LUMPUR – Peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bukan sekadar mengawal lalu lintas majlis kenduri kahwin sebaliknya turut bersama menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya sentiasa komited menaik taraf imej RELA apabila kini dalam rangka memperkasakan peranannya untuk lebih kompetetif membuat penyusunan semula terhadap platun-platun atau organisasi.
“Sempena dengan pelantikan ini suka saya ingatkan kepada semua KPRK (Ketua Perhubungan RELA Kawasan) dan KPR (Ketua Platun RELA) yang dilantik supaya melaksanakan segala peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cekap, profesional dan penuh berintegriti.
“Pelantikan ini sememangnya bukanlah jawatan semata-mata, tetapi ianya datang bersekali dengan peranan yang harus dilaksanakan dan tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KPRK dan KPR di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 113 anggota RELA Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menerima watikah pelantikan sebagai KPRK dan KPR.
Sementara itu, Hamzah berkata, pihak RELA diharapkan sudah bersiap sedia dalam memberikan perkhidmatan ketika negara memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Seperti mana laporan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), MTL akan bermula pada November dan berakhir pada Mac di mana kebiasaannya negara akan dilanda banjir.
“Saya percaya dengan perancangan rapi yang telah dibuat akan dapat mencegah berlakunya situasi yang kita semua tidak inginkan contohnya bencana banjir seperti yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam tahun lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette