Sebahagian daripada penuntut Universiti USCI menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-35.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI meraikan kerja keras dan pencapaian pelajarnya dalam majlis konvokesyen selama tiga hari di Kampus Kuala Lumpur antara 11 hingga 13
Oktober 2022.

Majlis tahunan itu mengiktiraf pelajar yang mempamerkan dedikasi mereka dalam pencapaian akademik cemerlang sebelum melangkah ke dunia baharu dan konvokesyen ke-35 ini lebih istimewa bagi meraikan kejayaan itu setelah mereka berdepan dengan dua tahun penuh cabaran ketika pandemik Covid-19.

Seramai 3,919 pelajar akan hadir pada istiadat konvokesyen kali ini dengan kehadiran Pro-Canselor Universiti UCSI, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz; Pengerusi Majlis Universiti UCSI, Datuk Peter Ng dan Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir disaksikan tetamu serta ahli keluarga graduan.

Dalam majlis sama, USCI akan menyampaikan gelaran penghormatan kepada profesor kanan dan tokoh terkemuka yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Tunku Zain Al-’Abidin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Polisi Pendidikan dan Kepimpinan atas khidmat bakti kepada universiti dan industri manakala penerima gelaran Profesor Tersohor (Distinguished Professor) diberikan kepada Academician Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid; Profesor Dr Phang Siew Moi serta Profesor Ts Dr Ooi Keng Boon atas kepakaran mereka dalam disiplin masing-masing.

Sempena majlis konvokesyen itu, Universiti UCSI turut memberi penghormatan Valedictorian Kelas 2022 kepada Nicholas Wong Jian Yao dan Anugerah Pingat Emas Pro-Canselor kepada Lavinia Ng Yenyun atas pencapaian cemerlang mereka dalam akademik.

Nicholas merupakan graduan Ijazah Doktor perubatan (MD) dari Kampus Springhill (Port Dickson) yang mempamerkan sifat pelajar contoh dengan keputusan akademik cemerlang manakala Lavinia menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni dengan kepujian dalam Pengurusan Hospitaliti dari kampus Kuching.

UCSI berada di kedudukan ke-284 terbaik dunia sekali gus menempatkan diri dalam kelompok 0.9% dalam QS World University Rankings 2023.

Setiap tahun pelajarnya terpilih menyertai penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia termasuk Harvard University, Imperial College dand the
University of Queensland.

Melalui kaji selidik terkini Kementerian Pendidikan juga, kesemua program yang ditawarkan menunjukkan skor 100% dari segi kebolehpasaran. Ini menunjukkan graduan UCSI kekal relevan di pasaran dan diiktiraf oleh industri dari dalam mahupun luar negara.

Setakat hari ini, universiti telah bekerjasama dengan lebih 4,600 syarikat global bagi menjalani program latihan industri selain membuka peluang pekerjaan kepada pelajar. – MalaysiaGazette