Datuk Seri Anwar Ibrahim.-Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pelawaan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bekerjasama buat kali kedua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, dia terpaksa menolak pelawaan Mahathir kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu seorang yang tidak tetap pendirian.

“Tak apalah. Kami akan terus memantau (apa yang Mahathir katakan). Minggu depan, dia akan ada (pendirian) berbeza,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi.

Pada 11 Oktober lalu, Mahathir yang kini berusia 97 tahun berkata, sebarang soalan mengenai kerjasama antara beliau dan Anwar dalam PRU15 perlu ditanya sendiri kepada Presiden PKR tersebut.

Mahathir yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 ini berkata, Anwar enggan bekerjasama dengannya walaupun beliau seorang yang sangat baik.

“Soalan perlu diberikan kepadanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan saya.

“Masalahnya beliau yang tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya adalah seorang yang sangat baik,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Terdahulu dalam sidang media itu Dr Mahathir berkata, GTA bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang ‘sebulu’ dengannya.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang dimaksudkan.

Pada PRU14, Mahathir yang keluar daripada UMNO dan menubuhkan Bersatu telah menghulurkan tangan kepada musuh politiknya sejak tahun 1999, Anwar untuk menumbangkan BN.

Kedua-dua pemimpin utama negara itu bermusuh ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Anwar dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral yang menyaksikan beliau kemudiannya dihukum penjara selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Pada PRU14, Anwar yang ketika itu masih dalam penjara selepas menjalani hukuman buat kali kedua juga disebabkan tuduhan kesalahan moral, bersetuju untuk bekerjasama dengan Mahathir bagi menumbangkan Barisan Nasional.

Pihak Anwar mendakwa persetujuan itu dicapai berikutan janji Mahathir sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Bagaimanapun Kerajaan PH yang dibina selepas PRU14 tumbang selepas berpuluh ahli Parlimen Bersatu dan bekas ahli Parlimen PKR keluar daripada PH dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan Mahatir meletakkan jawatan perdana menteri.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast