KUALA LUMPUR – Gabungan 50 Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedia menyokong mana-mana parti politik jika sembilan tuntutan wajib mereka mengenai ekonomi Bumiputera dimasukkan ke dalam manifesto dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, ini kerana pilihan raya lalu menyaksikan tiada parti politik yang membentuk komitmen untuk meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera.
Beliau berkata, tuntutan pengundi orang Melayu itu mampu menentukan kemenangan mana-mana parti politik, apatah lagi PRU15 merupakan pilihan raya paling sengit selepas episod ketidakstabilan kerajaan berlaku sebelum ini.
“MTEM ada berbincang hari ini dan kita menetapkan beberapa perkara yang sepatutnya disebut di dalam manifesto parti-parti politik tak kira mereka ini menyokong Melayu atau tidak.
“Tetapi sepatutnya ianya diadakan di dalam manifesto mereka supaya kepentingan Melayu dapat dijaga,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, antara tuntutan itu ialah menolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa perlu susulan banyak pendedahan dibongkar melibatkan individu yang berkaitan dengan parti politik pemerintah
“Politik sekarang ini banyak didedahkan di dalam surat khabar dan media massa bahawa ramai pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa.
“Kita berharap pemimpin yang rasuah sama ada mereka sudah jatuhi hukuman atau tidak, akan ditolak pengundi-pengundi terutamanya orang Melayu,” katanya.
Selain itu, Gabungan 50 NGO itu menuntut agar mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi dalam kerajaan akan datang.
“Kita akan menolak parti yang membelakangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan khususnya pegangan ekonomi, perbankan, pemilikan hartanah, peluang pendidikan mahupun keselamatan makanan di negara ini,” katanya.
Mereka juga menuntut agar parti-parti politik melaksanakan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 2.0 bagi membasmi kemiskinan dan menghapuskan sistem pekerjaan mengikut kaum.
“Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) adalah harapan terakhir kepada usaha merapatkan jurang perbezaan, menyediakan padang permainan sama rata dan mencipta kemakmuran bersama.
“Kriteria syarikat berstatus Bumiputera bagi menyertai Perolehan Kerajaan Pusat, negeri-negeri dan GLC harus dinaiktaraf dari 51 peratus kepada 100 peratus.
“Ia bagi memastikan peruntukan besar Bumiputera sampai kepada sasaran sekaligus membanteras kegiatan Alibaba.
“Membina rantaian bekalan Melayu terutamanya dalam sektor strategik melibatkan keselamatan makanan, pembinaan, telekomunikasi, ekosistem halal, peruncitan dengan sasaran minimum 50 peratus daripada keseluruhan pasaran pengguna domestik,” katanya.
Tambahnya, MTEM bersama Gabungan 50 NGO menuntut agar parti-parti politik yang bertanding memasukkan keperluan untuk merapatkan jurang telekomunikasi antara bandar dan desa.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengatakan akses internet jalur lebar dan jaringan mudah alih 4G sudah mencapai 95 peratus, sebenarnya tidak benar.
“Masih banyak kawasan di sekitar bandar jarak 5 kilometer dari bandar tidak mendapat liputan jalur lebar yang memuaskan.
“Kami menuntut kerajaan lebih bertegas dengan syarikat-syarikat telekomunikasi memberikan jaminan 100 peratus liputan broadband/4G berkualiti tinggi di seluruh kawasan luar bandar berpenghuni menjelang akhir 2024 dan 100 peratus liputan 5G menjelang 2028,” katanya.
Di samping itu, MTEM juga menuntut supaya kerajaan memaksimumkan potensi sumber tenaga Melayu dengan menaikan gaji minimum dari RM1500 kepada RM2700 secara berperingkat dalam tempoh dua hingga lima tahun.
Gabungan NGO itu menuntut kerajaan untuk memperkasakan sistem ekonomi Islam melalui instrumen wakaf bagi menggantikan sistem berteraskan pemilikan individu kepada sistem berteraskan pemilikan ummah.
“Parti-parti politik perlu merealisasikan penubuhan Bank Melayu dengan penyediaan fasiliti patuh syariah dan bebas riba bagi menggantikan Bank Bumiputera yang dilupuskan sebelum ini.
Katanya, mereka juga menuntut parti-parti politik untuk memartabatkan sejarah dan warisan Melayu yang semakin dilupakan, sama ada melalui penyelidikan mahupun penerbitan karya-karya seperti buku, dokumentari dan filem.
“Kerajaan akan datang perlu menyediakan suntikan dana sebanyak RM500 juta setahun, bukannya RM50 juta sebagaimana yang telah dibentang dalam Bajet 2023 baru-baru ini,” katanya.
Katanya lagi, parti-parti politik perlu memastikan pemimpin NGO diberi ruang sebagai ahli Dewan Negara mahupun Kabinet bagi memastikan isu-isu ekonomi Bumiputera benar-benar dilaksanakan.
“Kita menuntut sekurang-kurangkan 10 kerusi Dewan Negara kerana Persatuan OKU pun dapat jadi Senator.
“Kita NGO yang kerajaan perakui satu kerusi pun tiada, kita ini berpuluh tahun cakap di tepi jalan sahaja.
“Hari ini kita nak cakap dalam padang, kita minta mana-mana parti politik letak dalam manifesto mereka bahawa NGO-NGO yang diperakui perlu diberi kerusi di dalam Dewan Negara.
“Ini kerana kita boleh panjangkan apa yang kita minta ini, kalau tidak tinggal kertas (tuntutan) sahaja, sepanjang lima tahun sepenggal kita akan lawan dan buat bising dalam Dewan Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette