Dokumen MoA ditandatangangi oleh Prof. Dr. Mohammad Kassim (dua dari kiri) yang mewakili UKM manakala Norhaizam mewakili KPJ Healthcare Berhad (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Usaha untuk melahirkan lebih ramai doktor pakar di negara ini melalui penglibatan hospital swasta dalam program latihan kepakaran perubatan menjadi kenyataan dengan adanya kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan KPJ Healthcare Berhad.

Kerjasama yang dimulakan pada tahun 2012 telah diteruskan melalui penyambungan Memorandum Perjajian (MoA) antara kedua-dua institusi sehingga tahun 2027.

Penyambungan kerjasama ini akan terus berjaya melahirkan doktor pakar yang berkualiti dan setaraf dengan program latihan kepakaran perubatan di universiti awam.

Program latihan kepakaran perubatan di Hospital Pakar KPJ yang dilaksanakan oleh Graduate School of Medicine, KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah bermula dengan program Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi iaitu Bedah Kepala dan Leher pada tahun 2012.

Ini merupakan program latihan kepakaran perubatan yang pertama dilaksanakan oleh universiti swasta dengan menggunakan tenaga pakar dan fasiliti hospital swasta.

Melalui MoA yang dimeterai pada tahun 2012, Fakulti Perubatan UKM telah bersetuju untuk membantu dalam membangunkan kurikulum, pemantauan latihan di Hospital Pakar KPJ dan penempatan calon-calon di Hospital Tuanku Muhriz (HCTM) dalam bidang-bidang tertentu. Kerjasama Fakulti Perubatan UKM ini, telah berjaya mencapai kualiti graduan doktor pakar yang dilahirkan oleh KPJUC.

Melalui kerjasama itu, tiga lagi program latihan kepakaran perubatan telah dilaksanakan iaitu, Sarjana Kepakaran Radiologi pada tahun 2014, Sarjana Kepakaran Surgeri Am dan Sarjana Ortopedik, masing-masing pada tahun 2016.

KPJUC juga telah mendapat kelulusan untuk memulakan Sarjana Anastesiologi dan Rawatan Kritikal bermula tahun 2022. Sehingga September 2022, KPJUC telah melahirkan seramai 18 orang doktor pakar dalam bidang-bidang tersebut.

Program-program Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi-Bedah Kepala dan Leher dan Sarjana Kepakaran Radiologi KPJUC telah mendapat akreditasi penuh daripada Malaysian Madical Council (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dilaksanakan sepenuhnya oleh KPJUC.

Dua lagi program, iaitu Sarjana Surgeri Am dan Sarjana Ortopedik akan terus dilaksanakan melalui kerjasama UKM-KPJ Healthcare Berhad, bagi memantapkan program.

Penyambungan MOA yang dimeterai ini untuk meneruskan kerjasama dalam dua program kepakaran tersebut.

Kerjasama antara Fakulti Perubatan UKM dan KPJ Healthcare Berhad adalah satu contoh kerjasama antara universiti awam dan pihak swasta yang berjaya memberi hasil yang amat berfaedah kepada negara. Dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, potensi universiti dan hospital swasta untuk melaksanakan latihan kepakaran dapat direalisasikan bagi melahirkan lebih ramai doktor pakar di negara ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim, asas memorandum itu adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

“Kita harus sedar, apabila berbicara tentang kualiti, kita tidak boleh berkompromi. Begitulah asas termeterainya memorandum ini iaitu untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

”UKM sesekali tidak akan mengabaikan aspek kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran. Malah, saya percaya, UKM mahu pun KPJUC akan mendapat banyak faedah. Antaranya ialah pengawasan bersama pemeriksa luar pascasiswazah dan pendanaan penyelidikan fakulti,” katanya.

Dokumen MoA itu ditandatangangi oleh Prof. Dr. Mohammad Kassim yang mewakili UKM manakala Norhaizam mewakili KPJ Healthcare Berhad. – MalaysiaGazette