Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat peluang Barisan Nasional (BN) untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah ‘sangat baik’ berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri yang ditadbir BN.

Beliau berkata, sepanjang lebih empat tahun menerajui barisan pentadbiran negeri, pelbagai pencapaian luar biasa yang disifatkan sebagai ‘ground breaking’ dan ‘unprecedented’ diraih terutamanya kejayaan meningkatkan hasil kutipan negeri melebihi RM1 bilion, yang pertama kali dicapai.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang berkata, kutipan hasil yang diperoleh itu dipulangkan semula kepada rakyat menerusi agenda pembangunan dan pemberian pelbagai bentuk bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang, yang diteruskan dengan pemberian pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Pahang 2023.

“Semua kejayaan ini boleh dilakukan kerana wujudnya kestabilan politik dalam pentadbiran Pahang, yang membolehkan kita merancang dan melaksanakan pelbagai agenda.

“Dalam kerajaan BN, tiada ugut-mengugut dan tiada ancaman lompat-melompat…yang ada hanya kestabilan dan kerjasama kuat antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini bagi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, dengan keputusan pilihan raya umum sebelum ini menyaksikan BN menguasai 25 kerusi, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

Ditanya mengenai calon BN Pahang pada untuk PRU15, Wan Rosdy  berkata kelazimannya BN akan mengemukakan gandingan ‘muka lama dan muka baru’ pada setiap pilihan raya umum. – BERNAMA