KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau ambil maklum Majlis Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan partinya.
Malah, Bersatu sudah membuat ketetapan tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU15, katanya.
Menurutnya, Bersatu akan memberi tumpuan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas, Gerakan, Parti Progresif Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini.
Tambah beliau, gabungan parti ini berhasrat menawarkan kepimpinan bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.
“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, Bersatu bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 melibatkan PN, Barisan Nasional, PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding,” kata Muhyiddin dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette