Sultan Selangor berkenan terima mengadap Abdul Razak bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) bermula semalam, sekali gus menjadikan ia sebuah institusi yang setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berharap UIS akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah IPT dan memaksimumkan penghasilan pelajar yang cemerlang malahan berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama.

UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola pengajian tinggi ini akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti, kata Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

MAIS juga menyeru kepada ibu bapa dan pelajar di luar sana, agar memilih UIS sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di negeri Selangor ini.

Sebelum itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan terima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Yang Berbahagia Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai UIS pada 13 Oktober 2022 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

UIS merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh MAIS yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996. Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.

Pelbagai program pengajian yang ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif. – MalaysiaGazette