Oleh ABDUL RAHMAN ISMAIL
PAS diteori mensasarkan 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15. Salah satunya adalah kawasan majoriti Melayu sekitar 75 peratus, Shah Alam – juga antara kawasan sasaran utama di Selangor. Namun, realiti sebenar menampakkan ‘roadmap’ pasti tersangkut di pintu Putrajaya andai PAS Pusat tidak melakukan sesuatu.
Ini kerana sudah menjadi buah mulut dalam kalangan ahli di kawasan tersebut tentang perpecahan besar yang berlaku. Bukan setakat berkocak air di tepi cawan, malah iras taufan terpercik ke luar. Terlalu banyak isu yang malu nak diarusperdanakan. Terlalu ramai yang tercedera. Namun, aduan tidak semua boleh disapu ke bawah permaidani Jalan Raja Laut. Pada masa yang sama pembubaran Parlimen telah berlaku pada 10 Oktober 2022.
Pembubaran ini memberi laluan penduduk Shah Alam memilih pengganti kepada Khalid Abdul Samad, wakil sebelum ini yang popular sebagai kurang mesra rakyat. Atas nama Muafakat Nasional (MN) atau kesepakatan satu lawan satu, Pas dan UMNO dijangka menawan parlimen ini dengan signifikan. Sebaliknya, perpecahan MN memberi ruang sama rata kepada semua parti, walaupun atas kertas menampakkan Pakatan Harapan (PH) bertepuk bersorak kegembiraan.
Perpecahan ummah ini memberi kesan berganda kepada Pas. Ini kerana kesan perpecahan ahli turut memberi impak negatif kepada saf gerak kerja pilihanraya secara berfokus. Situasi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 23 Julai 2022 yang tular melalui beberapa catatan di media sosial mendedahkan beberapa pekong di dada daripada isu fitnah semasa kempen pemilihan parti secara tidak telus hinggalah laporan kewangan tahun lalu tidak disahkan hingga ke hari ini.
Pihak kepimpinan Pas Shah Alam juga ditularkan ‘melancarkan serangan’ ke atas Dewan Ulama dan Dewan Pemudanya dengan melucutkan Ketua masing-masing daripada mesyuarat AJK atas faktor ketidakhadiran dalam mesyuarat. Agak melucukan surat perlucutan ini didakwa diserahkan beberapa minit sebelum AGM bermula yang mengundang amarah para perwakilan dan ramai ahli akar umbi.
Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Aubidillah Fahim mengesahkan perlucutan tersebut, namun enggan mengulas lanjut dengan alasan hal ehwal dalaman parti. Namun, perkara itu telah diketahui ramai pemimpin dan penggerak parti di pelbagai peringkat. Pelucutan ini juga seolah-olah tindakan menolak satu batalion tentera penggerak dalam menghadapi perang pilihanraya. Akhirnya, tinggallah seorang dua serdadu bertahan di kubu sendiri, tanpa peranan dua dewan yang diketahui rapat dengan akar umbi dan petugas parti di saf depan.
Seorang pengerak parti di peringkat dewan mendedahkan isu ini semakin membusuk setelah kepimpinan kawasan sehingga hari ini gagal untuk menguruskan pelaksanaan Majlis Tahkim seperti diputuskan perwakilan dalam AGM. Majlis ini sangat diharapkan oleh ahli dapat menyelesaikan masalah perpecahan yang berlaku, walaupun usul ini pada peringkat awalnya telah ditolak oleh kepimpinan kawasan, namun dipersetujui setelah didesak perwakilan dalam AGM lalu. Banyak isu dalaman dibakul sampah kini hidup ibarat api sekam yang marak memakan cebisan-cebisan perpaduan ahli.
Walaupun cuba berselindung, namun ramai ahli akar umbi menyuarakan kekecewaan dengan Yang Dipertua (YDP) kawasan yang bersikap ‘bossy’ gaya orang kayangan, gagal mengurus perbezaan, suka menghukum orang lain dan menambahkan luka perpecahan, bukannya berusaha untuk mengaku kelemahan diri dan membaiki perpecahan yang berlaku. Banyak punca tetapi pepatah Cina menyatakan ‘ikan busuk bermula di kepala’.
Beliau didakwa sangat jarang turun padang, malah langsung tidak dikenali pengundi termasuklah oleh sebahagian ahli Pas sendiri. Kepimpinan tertinggi parti tersebut juga gagal turun ke cawangan-cawangan setelah hampir dua tahun dipilih, kecuali ke beberapa cawangan pilihan. Suasana dalam AGM lepas adalah saksi kekecewaan tersebut, yang dibimbangi merebak dalam kempen pilihanraya.
Seorang Ketua Cawangan, Hj Zulkefly Musa memohon Pas Pusat untuk campur tangan menyelesaikan pelbagai isu yang telah berlarutan beberapa tahun di kawasan Shah Alam. Walaupun beliau enggan menjelaskan lebih lanjut, namun kesedihan beliau terpancar diwajah kerana isu ini gagal diselesaikan sebelum PRU-15, lebih-lebih lagi dengan pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Rentetan isu ini, ramai pemimpin dan ahli peringkat dewan-dewan serta cawangan memohon Pas Pusat mengambil serius dengan menurunkan calon terus daripada Pusat, terutamanya yang bertaraf tokoh ataupun ‘heavyweight’ di Parlimen Shah Alam dan bukannya jaguh kampung yang tidak dikenali. Langkah ini adalah ‘win-win situation’ demi operasi kemenangan Pas. Mereka akur dengan kuasa mencalonkan seseorang terletak pada kawasan dan negeri. Namun, tiada guna jika menurunkan calon berstatus ‘syok sendiri’ disebabkan kuasa untuk mencadang, bukannya berstatus dikenali dan disukai pengundi.
Untuk rekod, dalam PRU-14, Pas menurunkan pakar strategi politik dan AJK Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki di P.108 Shah Alam. Namun, untuk kali ini beliau telah mengumumkan tidak mahu bertanding. Selain Umno-BN, parti utama lain yang dijangka bertanding di parlimen tersebut adalah Amanah-PH dan Putra- GTA.
Berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada 16 Jun 2022, seramai 21,113,234 layak mengundi termasuklah pertambahan kira-kira 5.8 juta pemilih yang terlibat dengan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 kepada 18 tahun bermula 15 Disember 2021 lalu.
— Artikel ini ditulis dan dikirimkan Abdul Rahman Ismail. Ingin berkongsi artikel, pandangan atau komen sila emel kepada [email protected]