Pengamal media yang bertugas di Mahkamah Selayang, Selangor Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2023.

SETELAH sekian lama, harapan untuk melihat penubuhan Majlis Media Malaysia dilihat semakin hampir untuk menjadi kenyataan apabila Jurucakap Kerajaan Perpaduan, yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia telah dipersetujui oleh Kabinet dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam jangka masa yang terdekat. Secara amnya, penubuhan Majlis Media Malaysia diharap dapat membuka jalan kearah media yang lebih demokratik, bebas, dan juga beretika di Malaysia.

Perihal positif ini juga adalah selari dengan langkah untuk meningkatkan keyakinan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia, apatah lagi kedudukan Malaysia di dalam Indeks Akhbar Dunia 2024, telah jatuh ketangga 107, iaitu sebanyak 34 tangga daripada tahun sebelumnya, iaitu pada tangga 74 bagi tahun 2023. Terdapat pelbagai alasan yang dikemukakan oleh Reporters Without Borders tentang keputusannya untuk meletakkan Malaysia ditangga yang kurang memuaskan didalam indeksnya bagi tahun 2024 . Namun, alasan utama yang acapkali dikemukakan adalah Malaysia dilihat mengongkong hak kebebasan media dan maklumat melalui kerangka kawal selia media yang dianggap ketat.

Jaminan dan Kekangan Undang-Undang terhadap Akhbar dan Media di Malaysia
Secara asasnya jaminan terhadap hak kebebasan bersuara adalah bersifat sejagat. Terdapat dua instrumen perundangan antarabangsa utama mengenai hak asasi manusia, iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat  (UDHR)) dan juga Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR)). Perkara 19 UDHR menggariskan bahawa kebebasan bersuara merangkumi ‘kebebasan berpendapat dan juga kebebasan mengeluarkan fikiran’.

Kebebasan ini secara amnya tidak boleh diganggu, dan ia ‘boleh dituntut,diterima, dan disebarkan melalui sebarang bentuk media dan tanpa mengira sempadan’. Namun, menurut Perkara 19 ICCPR, meskipun hak kebebasan bersuara dijamin namun ianya boleh disekat melalui undang-undang dengan tujuan untuk i) menjaga hak dan reputasi orang lain, dan ii) melindungi keselamatan negara dan
ketenteraman awam.

Di peringkat nasional, hak kebebasan bersuara adalah terjamin dibawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu, Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang boleh menyekat kebebasan bersuara sekiranya memenuhi alasan-alasan yang dibenarkan didalam Perlembagaan seperti melindungi ketenteraman awam dan moral.

Menerusi peruntukan perlembagaan tersebut, beberapa undang-undang yang mengawal kebebasan media telah digubal. Ini termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang mengawal aspek perlesenan mesin cetak dan kawalan terhadap penerbitan dan agihan penerbitan. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 juga bertanggungjawab dalam mengawal penerbitan dan penyebaran berita tidak benar yang menggunakan media bercetak.

Tidak ketinggalan juga, Akta Rahsia Rasmi 1957 yang dilihat mampu menyekat kebebasan dan ketelusan saluran maklumat diatas tujuan untuk melindungi rahsia rasmi. Sementara itu, Akta Hasutan 1948 menjenayahkan “kecenderungan menghasut” masih lagi digunapakai di negara ini walaupun ianya merupakan legasi kerajaan kolonial British. Dalam pada masa yang sama pengamal media juga turut terdedah kepada ancaman saman malu di mahkamah yang membabitkan tuntutan
ganti rugi yang kadangkala tidak berpatutan. Disamping itu, pengamal media elektronik turut tertakluk kepada kawalan-kawalan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

Mekanisme penyekatan utama yang digunapakai oleh Akta tersebut diterjemahkan di bawah Seksyen 233 yang digunapakai khusus untuk melarang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat untuk niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang melalui media sosial, portal berita yang menawarkan ruang komen, forum-forum maya, serta aplikasi-aplikasi komunikasi. Manakala, Seksyen 211 pula digubal dengan tujuan untuk melarang pemberian atau penerbitan kandungan jelik secara umum yang boleh berlaku di laman sesawang, portal ataupun blog.

Walaupun kedua-dua peruntukan yang disebutkan mempunyai fokus yang berlainan, namun ia mempunyai elemen larangan yang sama iaitu adalah menjadi satu kesalahan untuk membuat atau menyebarkan kandungan atas talian yang bersifat lucah, palsu, ataupun mengancam individu yang lain. Penguatkuasaan peruntukan-peruntukan berkaitan kandungan dalam talian dibawah AKM turut dibantu oleh Forum Kandungan, yang menguatkuasakan pengawalseliaan kendiri melalui Kod Kandungan 2022.

Mengimbangi kepentingan umum dan kebebasan bersuara melalui Majlis Media
Seperti yang dinyatakan diatas, hasrat untuk menubuhkan sebuah Majlis Media di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudahpun disuarakan lebih awal yakni semenjak daripada tahun 1974 lagi. Secara amnya, fungsi asas sebuah Majlis Media adalah untuk membuka ruang kepada pengamal dan pemain industri untuk mengawal selia industri media secara kendiri, sekali gus dapat memberikan jaminan kebebasan yang lebih baik terhadap kebebasan akhbar. Terdapat pelbagai variasi kerangka kawal selia Majlis Media yang diamalkan diseluruh dunia, misalnya, Majlis Media Sweden mengamalkan dasar kawal selia kawalan kendiri penuh, seluruh aspek kawal selia dikawal sepenuhnya oleh industri media tanpa campur tangan kerajaan.

Manakala Majlis Akhbar India mengamalkan dasar pengawalan media secara berkanun, yang mana aspek pentadbiran badan tersebut dipantau oleh Parlimen dan dibantu oleh kerajaan. Pada hemat penulis penelitian terhadap aspek pemilihan jenis kawal selia adalah mustahak kerana ia mampu mempengaruhi tahap kebebasan, kelestarian dan juga tahap keberkesanan fungsi badan tersebut. Dalam pada itu, Majlis Media juga berperanan untuk menguatkuasakan etika kewartwanan yang tinggi berdasarkan prinsip-prinsip etika kewartawanan. Hal ini termasuklah dalam memastikan bahawa laporan yang disediakan adalah benar, serta menyebarkan fakta yang telah disahkan terlebih dahulu.

Prinsip kewartawanan ini bukan sahaja menitikbertakan kesahihan kandungan, malahan turut memberi perhatian terhadap kesaksamaan,keseimbangan dan keberkecualian laporan tersebut. Pematuhan terhadap etika kewartawanan yang menyeluruh dapat membantu pengamal media untuk mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab, sekali gus dapat menghindarkan tindakan yang lebih punitif dikenakan terhadap pengamal media melalui undang-undang sedia ada.

Dalam pada masa yang sama, Majlis Media juga turut berperanan sebagai pelindung kepada khalayak media sekiranya mereka dianiayai pengamal media yang tidak bertanggungjawab. Dalam hal ini, masyarakat am yang terjejas disebabkan laporan tersebut boleh mengajukan aduan mereka kepada Majlis Media dan tindakan-tindakan tertentu boleh diambil terhadap pesalah berkenaan berlandaskan bidangkuasa yang ada pada Majlis Media tersebut.

Hal ini termasuklah memerintahkan permohonan maaf dibuat secara terbuka sekiranya laporan tersebut bersifat fitnah, ataupun mengarahkan pembetulan dilakukan secara serta merta sekiranya laporan itu salah atau tidak tepat. Malah, disesetengah negara, Majlis Media atau badan seumpamanya turut diberikan kuasa untuk mengarahkan ganti rugi dibayar kepada mangsa kewartawanan yang tidak beretika. Dalam pada itu, Majlis Media itu sendiri boleh mengambil peranan sebagai sebuah platform untuk menyebarkan berita dan maklumat yang sahih dan tepat kepada umum, sekali gus dapat mencegah penularan berita palsu.

Dalam keghairahan kita memperbaiki kedudukan negara didalam Indeks Akhbar Dunia, adalah wajar bagi semua pihak yang bertanggungan untuk terus memberikan komitmen dalam mereformasikan struktur kawal-selia media. Hal ini penting bagi memastikan harapan untuk membentuk persekitaran media yang lebih kondusif, demokratik, bertanggungjawab, dan beretika dapat dicapai.

Pada hemat penulis, agenda penubuhan Majlis Media Malaysia haruslah bergerak seiring dengan agenda-agenda reformasi perundangan yang lain, seperti penelitian semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, dan juga beberapa peruntukan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penulis juga mencadangkan sebuah Akta yang dipanggil Akta Kebebasan Maklumat haruslah digubal dengan segera untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1957 yang dilihat menyekat akses terhadap maklumat yang berkepentingan umum.

Reformasi terhadap institusi dan perundangan yang disebutkan diatas adalah penting bagi memastikan Majlis Media Malaysia yang dicadangkan dapat berfungsi dengan sebaiknya dan berperanan sebagai tunjang untuk mendukung aspirasi mendukung kebebasan media di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, langkah-langkah kawal selia media seperti pengenalan mekanisme perlesenan media sosial haruslah dilaksanakan dengan berhati-hati supaya ianya tidak akan merencatkan aspirasi kebebasan media yang diimpikan dan dijanjikan. Hal ini penting supaya penubuhan Majlis Media Malaysia tidak disalah erti sebagai usaha untuk menambah satu lagi lapisan kepada peraturan media yang sedia ada yang sudahpun dilihat menekan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast