Sissy Imann.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara, Sissy Imann kini stabil selepas selamat menjalani pembedahan dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Menerusi hantaran Instagram (IG) miliknya, Sissy atau nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil, 27, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dirinya.

“Assalamualaikum semua. Sungguhlah dunia ini ramai yang baik hatinya. Terima kasih semua atas doa yang baik-baik.

“Alhamdulillah, pembedahan lancar semalam. Sissy bangun beberapa jam selepas pembedahan dan sekarang sedang berehat di rumah.

“Ini semua berkat doa anda semua. Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian.

“Perkataan terima kasih bagi Sissy masih belum mencukupi terutama kepada rakan-rakan serta teman media yang melaporkan perkongsian Sissy semalam,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Sissy turut meluahkan rasa terharu apabila keadaannya itu mengundang simpati ramai termasuk mereka yang tidak pernah mengenalinya.

“Tujuan Sissy hendak minta maaf kepada (individu) yang Sissy pernah sakiti. Tetapi, entah berapa ramai yang mungkin tidak pernah kenal turut mendoakan… Masya-Allah.

“Saya hanya perlukan beberapa hari lagi sebelum kembali dalam keadaan sihat, lebih gembira serta lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya.

Dia turut memuatnaik video yang memaparkan dirinya terbaring di atas katil yang disorong dua jururawat selesai pembedahan.

Turut kelihatan menemani Sissy adalah bapanya, Mohammad Kamil Moustaff.

Semalam, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu ini memaklumkan dia bakal ditidurkan dan menjalani pembedahan menerusi perkongsian IG.

Sissy bagaimanapun tidak memperincikan jenis pembedahan dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast