KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) muncul sebagai pemilik slot kedua Piala AFC 2023 setelah mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara Liga Super 2022 apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 malam tadi.
Kejayaan itu turut dibantu pasukan Sabah FC apabila tewas 0-3 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan.
Kegagalan Sabah untuk meraih kemenangan telah menyebabkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berakhir di tangga ketiga liga dengan keseluruhan 42 mata.
Dengan perubahan pada format kelayakan Piala AFC 2023 yang baru diumumkan, Sabah FC hanya layak untuk ke saingan Asia tersebut sekiranya JDT merangkul kejuaraan Piala Malaysia nanti.
Senasib dengan Sabah, Negeri Sembilan FC (NSFC) turut akur setelah gagal mengatasi saingan Sri Pahang dan kecundang 0-2 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.
NSFC menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat keempat dengan keseluruhan mata 41 mata.
Sebagai rekod, pasukan Harimau Selatan yang mengesahkan kejuaran Liga Super kesembilan berturut-turut pada 1 Oktober lalu kekal jauh di hadapan dengan 56 mata. – MalaysiaGazette