Ismail Sabri Yaakob disambut dalam Majlis Ramah Mesra bersama Peserta Felcra, Pekebun Kecil RISDA & Warga Orang Asli di Arena Merdeka, Tapah Perak pagi ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri secara dasarnya bersetuju menghapuskan hutang para peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berjumlah RM233.8 juta.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun bersetuju, namun perkara itu masih perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

“Insya-Allah, ia akan dilakukan jika saya terus diberikan kepercayaan untuk mentadbir negara,” katanya ketika berucap di majlis ramah mesra bersama peserta Felcra, pekebun kecil Risda, Tok Batin dan Penghulu Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli di Tapah, Perak hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam proses memuktamadkan kaedah pelupusan hutang peserta FELCRA yang tertunggak bernilai RM230 juta.

Jumlah hutang itu membabitkan 20,000 peserta sejak lebih 30 tahun lalu  membabitkan beberapa generasi dengan ada dalam kalangan mereka sudah meninggal dunia.

Perdana Menteri mengakui agensi ini ada banyak masalah hutang yang tidak pernah selesai dan tidak dapat diselesaikan kerana terdapat projek yang tidak berdaya maju.

Sehingga Disember tahun lepas terdapat 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar telah dikenalpasti sebagai projekyang kurang berdaya maju dari segi penghasilannya dalam memberi pulangan pendapatan kepada peserta.

Selain berita gembira itu, Ismail Sabri turut mengumumkan jumlah keuntungan boleh agih interim 2/2022 berjumlah RM181.5 juta kepada seramai 74,949 peserta di seluruh negara.

“Bayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat mulai hari ini dan boleh digunakan oleh peserta Felcra untuk pelbagai perkara,” katanya yang gembira Felcra berjaya mengekalkan prestasi baik apabila merekodkan kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding tahun lalu.

Mengenai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil dengan kadar RM600 yang akan diagihkan pada bulan November dan Disember ini.

”Insya-Allah pada tahun 2023, Kerajaan Keluarga Malaysia akan menyediakan peruntukan ini dengan peningkatan kepada RM800, selain turut dipanjangkan kepada pekebun kecil di bawah Felda,” ujarnya. – MalaysiaGazette