Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh (dua kiri) merasmikan gimik logo baharu Mekar JPN pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran versi baharu bermula tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sijil kelahiran berkenaan bakal mengandungi beberapa ciri keselamatan terkini.

Katanya, ciri keselamatan baharu itu termasuk dilengkapi watermark atau tera air pada sijil kelahiran bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.

“Apabila dokumen itu dibawa kepada JPN, kita tahu ia sahih atau tidak. Sesiapa yang lahirkan anak tahun depan akan mendapat sijil kelahiran baharu,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di sini, hari ini.

Menurut beliau, sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

Pada masa sama, Hamzah menyifatkan dokumen keselamatan dikeluarkan JPN adalah yang terbaik di dunia kerana ia sentiasa melalui evolusi dan penambahbaikan.

“Kalau kita lihat, ciri-ciri keselamatan pada MyKad itu sendiri sudah diubah suai dan ditambah baik sebanyak tiga kali sejak ia diperkenalkan pada 2001,”” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, sebanyak 471 operasi siasatan dan penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dan sebanyak 195 tangkapan dan pendakwaan bagi kes-kes di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299).

Terdahulu, JPN dalam kenyataan sempena program itu memaklumkan 38 dokumen keselamatan jabatan tersebut antaranya sijil kelahiran dan daftar perkahwinan ditingkatkan ciri keselamatan bermula tahun depan bagi menjaga aspek ketulenan.

Menurut JPN, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan jenis dakwat untuk cetakan keselamatan. – MalaysiaGazette