BAGAN DATUK – Situasi di ‘medan perang’ sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) bukan seperti dahulu lagi yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) boleh meletakkan mana-mana calon untuk menang dengan mudah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden UMNO itu berkata, BN perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh selesa seperti dahulu berdasarkan polar serta polemik politik yang semakin terbuka selain mencabar ketika ini.
“Dahulu kalau kita bertanding, kita pasti menang. Letak ‘songkok’ pun boleh menang tetapi sekarang keadaan semakin berubah. PRU14 jelas menunjukkan keyakinan untuk menang mudah dan besar tidak mencukupi.
“Tidak boleh ada jaminan menang mudah seperti dahulu lagi. Syaratnya perlu bekerja keras dan kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini yang dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selain pelbagai lapisan pemimpin komponen, parti serta masyarakat setempat.
Ismail Sabri berkata, BN hadir pada PRU15 bukan sekadar untuk bertanding tetapi mahu menang dengan majoriti lebih besar agar mudah menguasai Putrajaya seterusnya membuat pelbagai keputusan bersama-sama parti komponen.
“Kita kena pastikan BN menjadi parti dominan kerajaan yang akan dibentuk. Jika BN memenangi 30 hingga 40 kerusi sahaja, kita tidak akan kuasai Kabinet.
“Sekurang-kurangnya 80 kerusi atau dua pertiga barulah kita ada kuasa kita dan orang akan dengar cakap kita. Kalau parti tidak kuat, tidak dominan, susah untuk kita membuat keputusan dan menguasai Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata, pembubaran Parlimen adalah bagi memberi laluan kepada PRU15 supaya rakyat boleh memilih kerajaan baharu namun niat itu disalah erti oleh kem pembangkang.
“Apabila bubar Parlimen, pembangkang sepatutnya seronok kerana pelbagai tuduhan dibuat tentang keabsahan kerajaan yang ada.
“Jadi biar rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tiba-tiba mereka tidak setuju dengan pembubaran Parlimen sehingga mahu diisytiharkan sebagai tidak sah di mahkamah. Saya tidak faham apa mereka mahu sebenarnya,” kata beliau. – Bernama