Muhammad Fauzi.

GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang menyifatkan  kejadian papan tanda dan pagar di pintu masuk kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar disimbah cat sebagai provokasi murahan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, dalam keadaan suasana politik kini pelbagai provokasi boleh timbul.

“Kita tak boleh buat andaian dari segi pelaku serta motif cuma apa yang boleh dikongsikan sesiapa saja boleh lakukan kegiatan itu (simbah cat) dalam keadaan politik yang tegang ini dan adalah provokasi murahan.

“Kita serah kepada pihak polis untuk jalankan siasatan termasuk mengesan pelakunya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu media melaporkan, papan tanda dan pagar di pintu masuk Seri Mentaloon disimbah cat merah dan biru hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10 pagi.

“Hasil siasatan membawa kepada penemuan empat plastik cat iaitu dua daripadanya berwarna merah dan dua lagi plastik biru berhampiran pokok di kawasan kejadian yang dipercayai ditinggalkan pelaku terbabit.

“Kita akan memeriksa kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran seperti di lampu isyarat Pantai Johor untuk membantu siasatan susulan kawasan ini tidak mempunyai CCTV,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. – MalaysiaGazette