Tommy Thomas Anwar Ibrahim PM
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah memulakan siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu forum baru baru ini.

Siasatan itu menyusul selepas polis menerima aduan ke atas mereka.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kedua-dua individu itu akan dipanggil polis untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan itu.

“Polis Diraja Malaysia  telah menerima laporan polis mengenai kenyataan Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman.

“Ucapan tersebut disampaikan semasa “Forum Dark Forces Towards GE15” yang telah diadakan pada 17 September lalu merupakan anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tan Sri Tommy Thomas dan salah seorang ahli panel forum tersebut iaitu Dr. Michael Jeyakumar Devaraj, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam kes berkenaan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Siasatan sedang dikendalikan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.-MalaysiaGazette