Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dengan Penchala di Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebarang hutang berkaitan projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang dibuka baru-baru ini perlu dijelaskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya perlu memberi penjelasan terperinci mengenainya dan bayaran kepada kontraktor perlu diselesaikan.

“Mesti ada sebab bayaran tersebut tidak dijelaskan, dan walaupun selepas projek tersebut siap, kita harus melihat sama ada ia memenuhi kepuasan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen sempena mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek DASH berjumlah lebih RM80 juta.

Perkara tersebut menyebabkan kalangan subkontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan mengalami kesukaran.

Lebuhraya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lepas.

13 persimpangan itu ialah Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

Ia menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast