Jho Low Fat Leonard
Jho Low

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman bagi mendapatkan cukai tertunggak berjumlah RM1.05 bilion daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pesuruhjaya Kehakiman, Kenneth Yoong Ken Chinson St James memutuskan tidak ada isu yang boleh dibicarakan untuk perbicaraan bagi menentukan tuntutan cukai sebanyak RM1,053,972,936.58 itu.

Kenneth berkata, tuntutan cukai berkanun itu jelas selepas Jho Low tidak mengemukakan penyata cukai untuk tahun-tahun berkaitan dan LHDN mengeluarkan taksiran kepada beliau tetapi tidak dijawabnya.

“Permohonan LHDN untuk penghakiman dengan faedah lima peratus setahun daripada tarikh penghakiman ini iaitu 17 Oktober hingga tarikh realisasi penuh,” katanya.

Beliau turut memerintahkan Jho Low membayar kos sebanyak RM15,000.

LHDN memohon penghakiman terus kerana mendakwa Jho Low gagal mengemukakan penyata cukai bagi tahun taksiran 2013 dan 2014 mengikut tarikh akhir berkanun tahunan yang ditetapkan.

Penyata cukai perlu dikemukakan tidak lewat daripada 30 April selepas tahun taksiran.

Justeru itu, LHDN mengeluarkan Notis Taksiran kepada defendan sebanyak RM202,575,166.56 bagi tahun 2013 dan RM755,582,048.52 untuk tahun 2014.

Jho Low tidak membayar cukai yang ditaksir dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan.

Akibatnya, kenaikan 10 peratus dikenakan ke atas jumlah cukai yang ditaksir, iaitu RM20,257,516.65 untuk tahun 2013 dan RM75,558,204.85 bagi tahun 2014.

Jumlah cukai yang perlu dibayar untuk 2013 dan 2014 ialah RM1,053,972,936.58. – MalaysiaGazette