Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress ketika di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Silibus yang digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam sistem pembelajaran hari ini bukan dihasilkan oleh saya.

Demikian tegas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin  mengulas dakwaan mengatakan silibus pelajar sekolah rendah sekarang sukar.

Sebaliknya beliau berkata, silibus untuk setiap mata pelajaran yang digunakan pada masa ini telah dibentuk sebelum pelaksanaannya pada 2017.

“Silibus 2017 selesai pusingannya tahun ini untuk sekolah rendah. Untuk sekolah menengah pusingannya tamat tahun lepas sebab itu Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ada sedikit perubahan.

“Selepas selesai tempoh satu pusingan itu kemudian KPM akan lihat proses dan kaji semula. Silibus-silibus ini dibina oleh guru-guru dan mereka yang berkebolehan dalam bidang tertentu.

“Kita kena faham bahawa apa yang kita ada pada hari ini (silibus) bukannya tiba-tiba dibuat oleh Radzi Jidin, datang daripada saya, tidak. Ini merupakan satu proses silibus,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di sini hari ini.

Jelas beliau, KPM tidak boleh mengubah silibus  sesuka hati kerana tindakan berkenaan akan menyusahkan guru dan pelajar.

“Kalau nak kaji, KPM (kena) libatkan beberapa jawatankuasa dan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Radzi juga menolak dakwaan beliau menutup ruang untuk para guru memberikan pandangan mengenai sistem pendidikan.

Namun katanya, sebagai menteri terdapat terdapat keperluan untuk beliau menjarakkan diri khususnya daripada Lembaga Tatatertib yang berfungsi untuk memutuskan tindakan lanjut terhadap mana-mana penjawat awam.

“Sejak saya masuk kementerian, ada ruang ada batasan di antara menteri dengan penjawat awam yang saya tidak boleh sentuh. Contohnya, ruang dengan Lembaga Tatatertib.

“Namun di mana-mana sesi perjumpaan saya dengan guru-guru, saya tidak pernah tutup ruang untuk guru beri pandangan. Malah banyak pandangan KPM adalah berdasarkan pandangan guru-guru. Saya turun padang untuk bercakap dengan guru-guru.

“Untuk kata kita tidak dengar di bawah saya rasa itu tidak tepat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette