Siti Jamumall.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh yang juga ahli perniagaan, Siti Jamumall mendakwa pendandan rambut sebuah salon  membuat kesilapan ketika dia mendapatkan perkhidmatan mewarnakan rambut di Johor Bahru semalam.

Rentetan itu, Siti Jamumall, 23, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin berkata, dia sudah berbincang dengan wakil peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya baru lepas bercakap dengan peguam dan terangkan apa terjadi. Saya tidak minta banyak memandangkan perkara ini sudah terjadi, rambut pun dah rosak, jadi saya nak mereka bertanggungjawab untuk perbaiki semula rambut saya. Itu sahaja.

“Saya dari pukul 8 malam hingga 2 pagi pun tidak selesai lagi. Akhirnya mereka cuba baiki sampai pukul 6 pagi hari ini baru saya balik rumah. Tidak tahu nak cakap macam mana. Saya cari duit dengan membuat sesi live.

“Kalau keadaan saya macam ini memang malulah saya. Kalau ikutkan peguam, saya boleh saman malu dan minta ganti rugi berdasarkan berapa lama saya tidak boleh live.

“Tapi saya tahu dia takkan mampu bayar kalau nak kira sekali saya live berapa pendapatan yang dapat. Jadi saya harap mereka boleh bertanggungjawab. Kalau memang tak reti buat rambut pelanggan, janganlah. Rambut saya sihat dan tidak ada masalah pun sebelum ini,” katanya dalam satu rakaman video di media sosialnya.

Siti Jamumall berkongsi, dia berdepan masalah lebih besar iaitu rambut botak jika tidak dapat diselesaikan dalam masa dua minggu.

“Pendandan tu sampai sejam lebih dia bleach rambut saya. Apabila saya tanya, dia cakap itu perkara biasa. Masing-masing tak nak ambil tanggungjawab hingga saya buat live.

“Ketika itu semua kelam kabut datang hendak buatkan rambut saya. Tapi, tidak tahu boleh selamat lagi atau tidak. Rambut ini adalah mahkota bagi setiap wanita. Sedih sangat dengan apa yang terjadi.

“Kawan saya yang kerja di salon ada cakap, selepas dua minggu rambut saya boleh botak. Kalau tengok sekarang sudah macam apa. Kosong dan habis nampak kulit kepala. Rambut saya sampai pendek dan putus banyak.

“Banyak kesilapan dia buat, pertama dia biarkan rambut saya dalam keadaan bleach sampai lebih sejam lebihm dan dia biar begitu sahaja.

“Lepas tu pasang hitter dan saya pula tidak tahu semua ini. Saya percaya sebab dia cakap kerana sudah tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini,” katanya.- MalaysiaGazette