SWM Environment memnberikan sumbangan sempena SWM Kasih Cahaya Deepavali kepada golongan B40 di Melaka semalam.

MELAKA – Sebanyak 80 keluarga daripada golongan B40 menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) sempena sambutan perayaan Deepavali semalam.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program itu kesinambungan daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada kumpulan sasaran yang memerlukan bantuan.

“SWM Environment sentiasa komited mengadakan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik sempena perayaan-perayaan utama.

“Melalui program SWM Kasih Cahaya Deepavali ini diharapkan dapat memberikan sinar kegembiraan kepada penerima dan seterusnya menjadikan sambutan Pesta Cahaya mereka tahun ini lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan itu ialah Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek, VP Shanmugam.

Dalam majlis sama, SWM Environment turut menjalankan inisiatif Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) melalui sesi taklimat berkaitan kepentingan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan amalan 3R (kurangkan janaan sisa, guna semula dan kitar semula) kepada semua penerima sumbangan.

Semua penerima sumbangan mendaftar sebagai ahli KITARecycle iaitu program kitar semula di bawah SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran.

“Usaha ini diharapkan dapat mendidik dan menggalakkan masyarakat agar lebih aktif melaksanakan amalan budaya kitar semula selain membentuk komuniti yang peka dengan pengurusan sisa pepejal yang berhemah,” katanya. -MalaysiaGazette