Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini berterus terang terhadap spekulasi bahawa beliau telah bernikah dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Walaupun tidak menyebut nama Rina, Setiausaha Agung Pas itu menegaskan, beliau tidak pernah bernikah dengan mana-mana wanita sejak 15 tahun yang lalu.

Takiyuddin menegaskan perkahwinan merupakan isu yang sangat peribadi bagi setiap individu.

“Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 tahun ataupun 15 tahun sebelum ini saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa saja.

“Sepuluh tahun itu dua kali pilihan raya, 15 tahun itu tiga kali (pilihan raya). Saya… saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja,” kata Takiyuddin seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat di Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kota Bharu, hari ini.

Sejak beberapa bulan lalu timbul khabar angin Takiyuddin telah mendirikan rumah tangga dengan Rina.

Beberapa hari lepas, media turut bertanyakan soalan yang sama kepada Takiyuddin.

Bagaimanapun penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu itu terus berteka teki mengenai isu tersebut.

Takiyuddin dilaporkan menjawab, isteri beliau merupakan seorang pengundi di Malaysia.

My wife is a voter in Malaysia, so she’s considered as a politician, a voter is a politician (isteri saya seorang pengundi di Malaysia, jadi dia dianggap sebagai ahli politik, seorang pengundi adalah seorang ahli politik),” katanya. – MalaysiaGazette