TASEK GELUGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin UMNO akan merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti setelah ‘dirompak’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Katanya, kerusi itu telah dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Shahbudin Yahaya pada PRU lalu atas tiket UMNO sebelum melompat parti.
Ismail Sabri menegaskan walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tasek Gelugor beliau yakin kerusi itu akan kembali kepada UMNO.
Ini kerana kerusi asal Parlimen Tasek Gelugor milik UMNO.
“Semua orang akan masuk bila ada pertandingan dan yang masuk itu semua yakin menang tapi saya lebih yakin daripada dia (Muhyiddin) sebab kerusi ini (Tasek Gelugor) dulu dimenangi oleh UMNO bukan oleh Bersatu tapi bekas ahli parlimen UMNO melompat ke sana.
“Jadi ini bukan kerusi Bersatu tapi kerusi UMNO. Saya harap dia faham waktu tsunami politik pun kerusi Tasek Gelugor masih dimenangi oleh Barisan Nasional dan sekarang saya percaya serta yakin kerusi ini akan dimenangi semula oleh UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas sama ada calon tempatan atau luar yang akan diletakkan di Parlimen tersebut, Ismail Sabri berkata, ia tidak boleh didedahkan dan sedang diperhalusi Top Five UMNO.
“Pengerusi Perhubungan negeri yang akan bentang kepada Top Five dan penilaian akan dibuat daripada segi berapa serta sebagainya.
“Itu adalah rahsia yang tak boleh saya dedahkan kerana perjumpaan itu tertutup antara Top Five dengan Pengerusi Perhubungan negeri dan dia ada cadangankan tapi bukan satu nama, lebih daripada satu,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi Datuk Shabudin Yahaya yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum beliau melompat parti menyertai Bersatu pada 14 Disember 2019.
Beliau yang menangi kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.
Bagaimanapun, baru-baru ini mengumumkan beliau tidak lagi akan bertanding di kerusi itu pada PRU15 selepas mempertahankan kerusi tersebut selama dua penggal iaitu pada PRU13 dan PRU14. – MalaysiaGazette