KETIKA ini, musuh-musuh Barisan Nasional (BN) sedang galak memanipulasi isu calon Perdana Menteri dalam kempen mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kononnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bakal dilantik bukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagi menangkis dakyah kotor pihak lawan itu, Unit Penyelidikan Komunikasi BN Bahagian Rembau tampil memberi penjelasan yang benar lagi sahih melalui media sosial.
Seperti yang diketahui umum, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah bersetuju bahawa Ismail Sabri akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan poster boy BN.
Perlu diingatkan bahawa keputusan itu dibuat oleh semua Ahli MKT UMNO dan bukan oleh Ahmad Zahid secara solo.
Musuh BN mungkin ‘terlupa’ kuasa menentukan siapa yang jadi Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong. Memang sudah termaktub dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Seperkara lagi, semua orang tahu Ahmad Zahid masih lagi berdepan perbicaraan di mahkamah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Justeru, adalah mustahil Seri Paduka akan melantik seorang individu yang ada kes mahkamah sebagai Perdana Menteri. Belum pernah berlaku lagi situasi sedemikian dalam sejarah negara.
Memang benar, tidak semestinya calon Perdana Menteri atau Menteri Besar yang dikemukakan oleh parti akan secara automatik diterima oleh Yang di-Pertuan Agong atau Sultan.
Contoh yang terkini dapat disaksikan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Yang naik jadi Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz Ghazi walaupun yang dicalonkan parti ialah Datuk Hasni Mohammad.
Sekiranya situasi yang sama berlaku selepas PRU-15, semua pihak perlu faham bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah di bawah budi bicara Seri Paduka.
UMNO sebagai sebuah parti yang teguh mendukung kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu sentiasa menjunjung titah Seri Paduka termasuk dalam soal pemilihan Perdana Menteri.
Walau apa pun, keutamaan BN ketika ini bukanlah tentang siapa yang bakal jadi Perdana Menteri. Apa yang penting, BN mesti menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.
Kalau sasaran itu gagal dicapai, tiada guna kecoh-kecoh bercakap tentang calon Perdana Menteri. Mustahil Perdana Menteri dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang. – MalaysiaGazette