Dr. Abd Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) , Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menyifatkan ucapan Perdana Menteri di Bagan Datuk kelmarin adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO semasa Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) pada 17 Oktober lalu hanya berunsurkan politik.

Menurut Abd Latiff, terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan terutama mengenai apa yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaaah Menteri.

“Semua keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri adalah konsensus, sebulat suara selama 14 bulan di bawah kepimpinan Ismail Sabri. Kita tidak pernah mengundi untuk menentukan apa jua keputusan.

“Jika Ismail Sabri menyatakan hasrat untuk membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan Ismail Sabri yang menyatakan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional menghantar surat kepada Agong tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya umum boleh dipecat olehnya namun beliau tidak berbuat demikian.

Abd Latiff yang Ahli Parlimen Mersing mendakwa Ismail Sabri sebelum ini selalu berteka-teki mengenai pilihan raya termasuk ketika seorang menteri kanan bertanyakan bila tarikh untuk membubarkan Parlimen pada 7 Oktober lalu.

“Perkataan seperti ‘pecat menteri’ walaupun itu kenyataan gurau dan sinikal tidak perlu dicakapkan dałam program politik. Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa hire and fire namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.

“Kami masih teringat dua Menteri UMNO yang letak jawatan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dulu.

“Kami masih lagi anggota Kabinet caretaker. Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin Ismail Sabri boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam injury time (masa kecemasan),’” katanya lagi.

Jelasnya lagi, jemaah Kabinet terdiri daripada pelbagai parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (perdana Menteri ke-8) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana Menteri ke-7), tidak seperti perdana menteri sebelumnya (perdana menteri pertama sehingga keenam).

“Kabinet hanya bincang perkara dasar dan polisi untuk rakyat. Kita tidak bincang hal-hal politik berparti,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam mesyuarat itu juga jemaah Menteri berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023.

“Pembentangan Bajet 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal. Seingat saya, tiga kali dibincangkan, cuma perkara (Pilihan Raya Umum Kali Ke-15) Ismail Sabri tidak pernah meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

“Beliau ada menyatakan bahawa kita utamakan persediaan bencana, MTL dan kos barangan (ekonomi) daripada perkara pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau kau tak setuju dgn PM kenapa kau tak letak jawatan? Kau tak de maruah kaa? Kalau berani bertanding lah parlimen Mersing..kenapa takut? pooodaahhh

Comments are closed.