KUALA LUMPUR – Pas yakin akan dapat mengekalkan semua kerusi tradisi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, keyakinan parti itu berdasarkan jalinan kerjasama yang dilakukan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Insya-Allah. Kita boleh pertahankan. (Dengan gabungan bersama Bersatu) yakin. Perjuangan mesti yakin. Kalau tidak yakin tidak ada dalam Pas,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1443H dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 2022, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pas memuktamadkan untuk kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Idris yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang menerima dengan hati terbuka sekiranya parti itu tidak menamakan beliau sebagai calon di kawasan tersebut.
Jelasnya, secara tradisi pemimpin Pas tidak pernah membuat permintaan untuk bertanding di mana-mana kawasan, sebaliknya menyerahkannya kepada parti.
“Dalam parti ni bertanding atau tidak kami tidak minta pun dalam Pas ni. Saya jadi menteri pun tidak pernah melobi. Orang pilih kita bertanding, kita bertanding kalau tidak bertanding kita bekerja seperti biasa untuk parti.
“Saya tidak ada minta bertanding semula. Kalau tidak dipertandingkan okay, lagi syukur kepada Allah,” tambah Idris.
Parlimen Bukit Gantang menjadi antara kerusi panas kerana ia dikatakan menjadi rebutan antara Bersatu dan Pas.
Pada pilihan raya yang lalu, kerusi tersebut dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengalahkan Idris (16,052) dan calon PKR, Khadri Khalid (18,361) dengan majoriti 4,089 undi.
Bagaimanapun, Hussin kemudian keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette