Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjulang tangan dengan genggaman erat tangan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil diperhatikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) selepas selesai ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada kem Presiden UMNO dan tiada kem Perdana Menteri (PM) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kata Presiden UMNO itu yang ada hanya kem UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ketahuilah tidak ada orang PM, tidak ada orang presiden kerana yang ada hanyalah orang UMNO dan BN.

“Kita harus ketepikan perbezaan pendapat antara kita, kita mesti bersolidariti bagi memastikan kemenangan BN,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Presiden UMNO itu mengulas demikian berikutan ada dalam kalangan pihak tertentu menjalankan usaha untuk memecah belahkan pimpinan, ahli dan penyokong UMNO dengan menyatakan wujud puak dalam parti itu.

Pembangkang juga turut mengambil kesempatan itu dengan harapan dapat menarik sokongan UMNO, BN kepada mereka.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO dan BN menawarkan kestabilan dan kemakmuran jika rakyat memberi kemenangan majoriti kepada calon parti itu.

“Kita harap PRU kali ini, rakyat di Perak dan negeri lain menyokong BN. Malah, jentera dan pemimpin semua peringkat serta seluruh negara juga sudah sedia bekerja,” katanya.

Sebanyak enam negeri bawah pentadbiran Pas dan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan Parlimen.

Sebaliknya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang akan mengadakan PRU tahun depan.

Mengenai calon, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, parti itu akan menampilkan 70 peratus muka baharu.

“Kita mahu melihat wajah baharu BN, maka pendekatan di Melaka dan Johor akan digunakan,” katanya. – MalaysiaGazette