AHmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tohmahan bahawa UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca memecahbelahkan ummah tidak benar sama sekali.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO adalah sebuah parti yang memayungi penyatuan ummah sebagaimana terkandung secara rasmi dalam perlembagaannya.

“UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dinaratifkan memecahbelahkan ummah? Tohmahan ini sama sekali tidak benar sedangkan UMNO itu sendiri memayungi penyatuan ummah.

“Agenda itu terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara, seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, UMNO, MCA, MIC, PBRS dan Friends of BN telah bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia yang saling menghormati.

Katanya, inilah asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini.

“UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu demi mengelakkan kemudaratan yang besar. Sedangkan, Bersatu sebuah parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan UMNO dan BN.

“Jadi, apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut?” soal beliau.

Menurut mantan Timbalan Perdana Menteri, keputusan menolak kerjasama itu tidak bersifat individu sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti.

Katanya, dalam mendalami perihal pemecah belah ummah harus bersandarkan kepada fakta dan sejarah yang nyata.

“Usaha memecahbelah bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa. Ini bermula dengan PKR disusuli kewujudan PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang memangkin kepada perpecahan.

“Para pimpinannya pula pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan sebagai tidak selari dengan Melayu dan mereka rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO tetap UMNO bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.

Katanya, UMNO tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah apatah lagi merobek penyatuan bangsa Malaysia.

Justeru, ujar beliau, pada PRU-15 ini, pengundi harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan.

“Usah terkhilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast