Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mahu Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Walaupun pucuk pimpinan parti menyambut baik hasrat beliau hendak berundur untuk memberi laluan kepada calon lebih muda, tetapi disebabkan UMNO mahu meletakkan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di kerusi itu, adalah wajar Dr. Dzulkefly mempertahankannya sekali lagi.

“Kami mengambil maklum hasrat dan niat baik Dr. Dzul untuk memberi laluan kepada calon yang lebih muda dari beliau dalam PRU kali ini. Beliau sudah lama menyebut perkara ini kepada pimpinan parti. Kami pun memberi isyarat awal untuk mengizinkannya.

Salahuddin Ayub

“Tetapi, setelah UMNO mahu meletakkan bekas Menteri Kewangan sebagai calon mereka di Parlimen Kuala Selangor, kami pimpinan Amanah dan juga Pakatan Harapan (PH) mahu Dr. Dzul bertanding mempertahankan kerusi itu sekali lagi.

“Ini kerana, bagi kami, PRU15 adalah sangat kritikal dan serius. Setiap kerusi adalah penting untuk dimenangi oleh PH,” kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mac lalu, bekas Menteri Kesihatan itu menyatakan hasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

Beliau menyifatkan hasrat itu sebagai perhitungan peribadi selepas menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.

“Calon muda perlu diberi peluang dan ruang untuk menjadi pemimpin yang disifatkan lebih ‘segar’. Jika diizinkan, saya secara jujurnya mahu berundur dan cenderung memberi laluan kepada muka baharu,” katanya.

Menurut Salahuddin, pucuk pimpinan Amanah yakin Dr. Dzulkefly mampu mengekalkan kerusi itu berdasarkan kerja buatnya selama ini.

Katanya, rakyat Kuala Selangor tahu kegigihan beliau membantu, di samping tugasannya di peringkat negeri Selangor dan juga sebagai menteri di Kementerian Kesihatan dahulu.

“Saya mendoakan kejayaan beliau untuk pilihan raya kali ini dan kita sama-sama sekali lagi melaksanakan amanah rakyat untuk negara,” katanya. – MalaysiaGazette