Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan tempoh 14 hari diperuntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk semua parti politik berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai memadai.

Pada masa sama, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berharap, dengan memilih Sabtu iaitu 19 November hari mengundi, jumlah peratusan keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar akan lebih ramai.

Ini kerana, kata beliau, majoriti rakyat mempunyai lebih kelapangan untuk keluar mengundi dengan selesa.

“Saya juga percaya, bakal calon yang akan bertanding telah bersiap sedia dan sudah turun ke akar umbi dari awal lagi, memandangkan pilihan raya kali ini memang sudah dijangka diadakan bila-bila masa.

“Bahkan, saya percaya bakal calon untuk setiap kawasan pilihan raya sudah mula menggerakkan aktiviti turun padang sejak awal lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh pengundian pada 19 November ini, manakala undi awal 15 November.

Penamaan calon ditetapkan pada 5 November ini.

Menurut Fadillah, pada zaman teknologi maklumat (IT) dan sebaran informasi ini juga setiap calon dan parti banyak menggunakan platform media sosial untuk berkempen menyampaikan maklumat kepada pengundi dalam sekelip mata.

Katanya, GPS juga sudah bersiap sedia dan akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Sarawak dengan perjuangan “Sarawak First”.

Kata beliau, pemimpin GPS juga bekerja sepanjang tempoh mandat diberikan dan sentiasa turun padang, bukan hanya menemui pengundi ketika kempen pilihan raya sahaja.

“Harapan kita ialah supaya semua parti dan calon yang akan bertanding serta jentera semua parti mematuhi segala garis panduan dan undang-undang SPR bagi memastikan proses PRU15 berjalan lancar.

“Semoga sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU15 demi rakyat dan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette