Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra dengan pelajar selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus mendokong agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Jelas Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, program-program pendidikan di bawah KPLB menunjukkan kejayaan besar apabila melahirkan belia berkemahiran khususnya di kawasan luar bandar.

“Hari ini, TVET KPLB menunjukkan kejayaan yang besar dan mencapai banyak kejayaan dalam pembangunan modal insan yg berkualiti dan memperkasa generasi belia di luar bandar.

“Ada yang meneruskan pengajian dapat pekerjaan dan dalam bidang perniagaan dan banyak lagi. Hari ini saya sebagai menteri saya jumpa ramai yang belajar di TVET sekarang jadi usahawan bekerja di sesetengah syarikat multinasional maknanya itu kejayaan besar yang kita lalui terutama kepada belia-belia luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB.

Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB yang berlangsung hari ini pertama kali diadakan untuk menghargai dan pengiktiraf usaha serta khidmat cemerlang institusi, tenaga pelajar, pelajar dan alumni program di bawahnya.

Dalam masa yang sama, program tersebut mampu menaikkan motivasi dan mendorong pencapaian dan sumbangan aktif oleh institusi yang terlibat.

Sebanyak empat kategori anugerah dipertandingan hari ini iaitu, Anugerah Institusi Terbaik; Anugerah Pengajar Terbaik; Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Ikon TVET@KPLB. – MalaysiaGazette