ORANG politik yang bertanding di luar negeri kelahirannya, boleh diibaratkan sebagai pelarian politik.
Begitu juga orang politik yang memilih untuk bertanding di luar kawasan tempat tinggalnya boleh dikatakan penakut.
Daripada banyak parti politik, setakat ini hanya Pas, PKR dan DAP yang dilihat lebih cenderung meletakkan calon luar di satu-satu kerusi Parlimen setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Ini pernah berlaku kepada beberapa nama besar dalam politik pembangkang iaitu Mohamad Sabu atau Mat Sabu dari Kedah tidak pernah bertanding di negeri sendiri.
Beliau lebih selesa menjadi calon luar dan memilih bertanding di Permatang Pauh, Pulau Pinang, di Nilam Puri (sekarang Kubang Kerian) di Kelantan dan di Kota Raja, Klang, Selangor.
Demikian juga penasihat DAP, Lim Kit Siang, sepanjang berkarier dalam politik, beliau bertanding di Bandar Melaka dan Kota Melaka di Melaka, di Petaling Jaya, Selangor; di Ipoh Timur, Ipoh; Gelang Patah dan Iskandar Puteri di Johor.
Tradisi pelarian politik ini turut terpalit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang lebih selesa memilih bertanding dari luar negeri kelahiran di Pulau Pinang dan tempat tinggalnya di Segambut, Kuala Lumpur.
Sejarah politiknya tidak pernah merekodkan beliau bertanding di Bukit Mertajam, kawasan Parlimen kelahirannya di Kampung Ceruk Tok Kun.
Sebaliknya, Presiden PKR itu memilih Permatang Pauh sebagai kerusi Parlimen pertama untuk bertapak dalam politik.
Beliau bertanding atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU keenam tahun 1982 hingga PRU kesembilan tahun 1995.
Daripada empat PRU itu, beliau ditentang dan berjaya mengalahkan Mat Sabu calon Pas pada PRU7 tahun 1986 dan Datuk Mahfuz Omar dalam PRU8 tahun 1990.
Selepas keluar dari UMNO, beliau menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terus kekal menyandang kerusi Permatang Pauh untuk PRU12 tahun 2008 mengalahkan calon BN, Arif Shah Omar Shah dan PRU13 tahun 2013 menewaskan Mazlan Ismail, juga dari UMNO.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tahun 2018 iaitu selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan yang disabitkan sehingga dipenjarakan, beliau memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.
Ketika ini UMNO yang kalah dalam PRU14 mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calonnya melawan Anwar kerana tidak mahu membazirkan kos, tambahan pula rakyat masih dalam ‘mood’ PRU14.
Kali ini, selepas sepenggal di Port Dickson, Anwar membuat keputusan untuk melepaskan kerusi itu dan merantau mencari kerusi lain bagi membolehkan beliau bertanding serta meneruskan kesinambungan hidupnya dalam politik.
Dalam merantau mencari, beliau telah tertarik dengan Parlimen Tambun, Perak sebagai destinasi sesuai.
Tidak diketahui, kenapa daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, beliau tidak memilih Bukit Mertajam kawasan kelahirannya atau Segambut tempat tinggalnya untuk bertanding.
Beliau dilihat lebih selesa bertanding di luar negeri kelahiran dan di luar kawasan tempat tinggalnya.
Ini berbeza dengan kebanyakan pemimpin politik lain yang lebih seronok memilih negeri atau kawasan kelahiran sebagai lokasi bertanding.
Jadi, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah pelarian politik di tanah air sendiri, kerana memilih untuk bertanding di luar kawasan.
Parlimen Tambun pula bukan calang-calang orang yang hendak dicabar Anwar kerana kawasan itu adalah kubu kuat UMNO yang berjaya dirobohkan calon Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sudah tentu UMNO akan mengambil semula Tambun dengan meletakkan calon boleh menang menentang Anwar dan Ahmad Faizal.
Kerusi itu sebelum ini disandang bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari UMNO yang kalah dengan majoriti 5,320 undi kepada Timbalan Presiden Bersatu.
Apakah Anwar dapat mengalahkan Ahmad Faizal pada 19 November ini, sama-sama kita tunggu dan lihat.
Namun, bukan laluan mudah bagi calon Perdana Menteri PH itu hendak merampas kerusi berkenaan kerana beliau merupakan calon luar yang menggunakan ayaq, bukan ayor.
Perak juga negeri yang sebelum ini tidak pernah menjadi tumpuan calon luar, berbanding Kelantan, Melaka dan Johor yang menganggap perkara biasa jika ada calon luar datang bertanding. – MalaysiaGazette