Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Laporan Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mendedahkan kegagalan dan penipuan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berkata, laporan itu membuktikan PH telah melanggar laungan dan slogan mereka untuk menambahbaik tadbir urus yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Shahril berkata, semasa kempen PRU14 PH mahu mengurangkan kebarangkalian salah guna kuasa, campur tangan dalam kehakiman dan sebagainya.

“Hari ini terbongkar satu lagi kegagalan dan penipuan PH. Terang, terang, satu prosedur dan undang-undang yang dibuat zaman Pak Lah untuk memperkasa sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman, telah dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya.

“Hari ini menjelang PRU15 mereka menjaja slogan serupa. Konon mereka bersih. Lebih reformis. Lebih ikhlas. Lebih ‘rakyat’.

“Mereka tuduh UMNO hendak menang sebab mahu campur tangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah? Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, ‘kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang,” kata Shahril.

Shahril. berkata, laporan siasatan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri,  Tommy yang dilantik ketika PH memerintah telah terbabit dalam pelbagai tindakan meragukan.

Paling jelas adalah pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 adalah individu-individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit antara Tommy dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

“Yakni pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Nama-nama tersebut berbeza dari pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

“Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dimana – seperti ditegaskan dalam m/s 38-40 laporan pasukan khas – seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon Hakim untuk mahkamah-mahkamah seperti di atas.

“Sebaliknya, sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. PM boleh mohon untuk beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu. Bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara,” kata Shahril.

Selain itu laporan pasukan khas turut menegaskan, peguam negara bukan ahli suruhanjaya maka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada perdana menteri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast