KUALA LUMPUR – Impian Kuala Lumpur City (KL City) untuk mencipta sejarah menjulang trofi Piala AFC buat kali pertama lebur apabila tewas 0-3 kepada wakil Oman, Al Seeb pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kekalahan itu membolehkan Al Seeb berjaya mencipta sejarah menjadi pasukan dari Oman pertama menjuarai trofi Piala AFC dalam sejarah negara itu.
KL City pula gagal mengulangi ‘magis’ yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi kelab Malaysia dan Asia Tenggara pertama menang Piala AFC pada edisi 2015.
Pada saingan berprestij Asia itu, skuad KL City kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan dua pemain import sensasi, Paulo Josue dan Romel Morales selain tonggak tempatan, Zhafri Yahya.
Namun pasukan pelawat mendapat gol pembukaan menerusi sepakan penjuru yang dilakukan oleh Ali Sulaiman Al Busaidi pada minit ke-22.
Al Seeb menggandakan kelebihan menerusi tandukan Abdul Aziz pada minit ke-36 untuk memastikan penjaga gol tuan rumah, Kevin Ray Mendoza tewas buat kali kedua.
Malah Juara Piala Malaysia musim lepas itu semakin agresif untuk merapatkan kedudukan namun Al Seeb terus melebarkan jurang gol dengan meledak buat kali ketiga hasil percubaan yang dilakukan oleh Muhsen Al-Ghassani menerusi serangan balas pantas menarik pada minit ke-69.
Keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan ketika 20 minit terakhir perlawanan. – MalaysiaGazette