Muhyiddin Yassin

ALOR GAJAH – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjadi calon pertama diumumkan Perikatan Nasional (PN) bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka dalam ceramah Jelajah Prihatin Parlimen Masjid Tanah dan Pelancaran Jentera di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah di sini malam ini.

Dalam ucapannya itu, beliau meminta rakyat hanya memfokuskan kepada calon mewakili tiga parti iaitu daripada PN, Barisan Nasioanal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengundi pada 19 November nanti.

“…tentulah kalau di sini nak pangkah calon kita insyaAllah Mas Ermieyati…dah tersebut pula apa nak buat.

“Orang Masjid Tanah dah tahu Mas Ermieyati kerja kuat saya rasa tak boleh nak elak kena umum juga calon kita Mas Ermieyati,” katanya disertai tepukan gemuruh hadirin.

Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui media berkata, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah calon pertama yang diumumkannya dalam siri Jelajah Prihatin PN.

“Hari ini kebetulan saya kat sini, nampak semua dah semangat, saya kata okay saya umum sahajalah.

“(Calon lain) kita dah hampir selesailah semuanya, jadi Majlis PN dah buat keputusan dia (calon) akan diumumkan oleh Ketua PN di negeri masing-masing beberapa hari sebelum penamaan calon cuma yang ini tadi saya buat seorang sahaja (umum Mas Ermieyati),” katanya.

Mas Ermieyati

Ditanya adakah beliau yakin bekas Ketua Puteri UMNO itu mampu mempertahankan kemenangan Parlimen Masjid Tanah, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin calonnya itu akan menang pada PRU-15.

“Berdasarkan rekod prestasi dan dia pun telah jaga kawasan dengan baik, orang lama banyak pengalaman dalam kerajaan dia punya profil pun bagus jadi bagi saya dia yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati ketika ditemui berkata terkejut dengan pengumuman secara terbuka dibuat bekas Perdana Menteri itu yang tidak pernah dilakukan pada siri Jelajah Prihatin PN sebelum ini.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas pencalonan ini dan InsyaAllah saya akan cuba buat yang terbaik bersama seluruh pasukan PN bagi memastikan pastikan kemenangan di kerusi Masjid Tanah,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast