Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Pimpinan PKR Pulau Pinang, malam tadi.

BAYAN BARU – Penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mungkin kekal mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bayangan itu diutarakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pimpinan PKR Pulau Pinang di Setia Spice Arena di sini, malam tadi.

“Saya bagi scoop lah, kemungkinan besar (Nurul Izzah) bertanding di Permatang Pauh.

“Kemungkinan Nurul Izzah akan terus kekal bertanding di kubu kuat PKR meskipun terdapat desas-desus mengatakan dia mungkin akan bertanding di Parlimen Ampang,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Semalam media tempatan melaporkan, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berharap beliau diberikan peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.

“Sudah tentu jika ada pilihan (pertahankan kerusi). Permatang Pauh kerana kita kesuntukan masa dan saya sayang dengan Permatang Pauh,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kuala Perlis. – MalaysiaGazette