KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak kisah dituduh pengkhianat oleh bekas-bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau keluar dari PH kerana tidak tahan dengan tuntutan DAP dan PKR yang tidak begitu sesuai serta bercanggah dengan tuntutan agama, bangsa dan negara.
“Saya tidak kisah dituduh pengkhianat kerana saya tidak boleh mengkhianati bangsa, agama dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Muhyiddin menambah, PN juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk kemaslahatan rakyat sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sehubungan itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh berharap agar para pengundi membuat pertimbangan yang bijaksana.
“Hanya PN yang boleh membentuk kerajaan yang berintegriti. Tidak ada pilihan lain selain PN,” katanya. – MalaysiaGazette