Ramesh menyampaikan bantuan Deepavali kepada golongan B40 di Sungai Pinang, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Meskipun sibuk dengan peniagaan serta kerja hakiki namun sekumpulan sahabat tetap memgambil inisiatif membantu golongan memerlukan sejak 10 tahun yang lalu khususnya menjelang Deepavali.

Membawa konsep Keluarga Malaysia, kira-kira 10 individu yang terdiri daripada peniaga makanan serta kontraktor itu mengumpul duit sendiri bagi memastikan golongan B40 tidak ketinggalan dalam meraikan Deepavali.

Peniaga kedai makan, K. Ramesh, 54, berkata, wang yang dikumpul selalunya bermula awal tahun itu akan diguna bagi membeli barangan keperluan dapur sebelum diagih kepada lebih 200 penerima sekitar daerah Timur Laut, di sini.

Ramesh.

Jelasnya, penerima bukan terdiri daripada mereka berbangsa India sebaliknya bantuan itu akan diagihkan kepada pelbagai latar belakang termasuk balu, ibu tunggal serta orang kelainan upaya (OKU).

“Sudah 10 tahun kita buat inisiatif sebegini dan saban tahun jumlah penerima semakin meningkat.

“Kami percaya dengan cara penyampaian bantuan barangan keperluan sebegini dapat meringgankan bebanan golongan B40 dalam meraikan Deepavali meskipun ada antara mereka bukan berbangsa India.

Kira-kira 10 sahabat yang terdiri daripada peniaga makanan serta kontraktor mengumpul wang bagi menjayakan program bantuan tersebut.

“Kita bawa konsep Keluarga Malaysia bukan saja dari segi pengumpulan wang tapi terhadap penerima juga yang terdiri daripada India, Cina serta Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Pinang.

Mengulas mengenai pemilihan penerima bantuan, Ramesh berkata, mereka terdiri daripada masyarakat di kejiranan dan pelanggan kedai.

Sementara itu, kontraktor, Khairul Anwar Zainol Abidin berkata, pihaknya melakukan inisiatif sebegini dengan harapan orang berkemampuan lain turut melakukan perkara sama.

Khairul Anwar.

“Kita bukan ahli politik tapi kita nak bawa konsep rakyat Malaysia ini adalah satu keluarga yang mana golongan berkemampuan tolong mereka yang tidak bernasib baik agar masing-masing dalam jalani kehidupan sempurna.

“Kita buat di kawasan ini pada musim Deepavali memandangkan ramai kaum India di sini manakala penduduk di kawasan Jeneri, Kedah pula akan dibantu pada musim perayaan Aidilfitri.

“Walaupun beri bantuan ketika musim perayaan tertentu tapi penerimaannya tetap pelbagai kaum,” katanya.

Golongan OKU antara penerima bantuan.

Pada majlis itu, setiap penerima diberi 15 jenis barangan keperluan dapur seperti beras, makanan dalam tin, tepung, gula, minyak dan sebagainya selain sabun pencuci. – MalaysiaGazette