Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan usaha tambahan agar masyarakat India di negeri berkenaan terus dibela.

Menurut Menteri Besar negeri tersebut, Datuk Seri Amirudin Shari, perkara berkenaan akan diumum menerusi Belanjawan 2023 negeri yang kini dalam proses disiapkan sepenuhnya.

Katanya,  perlu ada usaha untuk meningkatkan daya saing masyarakat India di Selangor.

Jelas beliau, usaha berkenaan boleh dilakukan melalui memupuk semangat keusahawanan agar masyarakat berkenaan akan dapat lebih maju.

“Musim perayaan yang berturut-turut di akhir tahun menjadi salah satu faktor mengapa Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk meneruskan pentadbiran ini, selain daripada kemungkinan peningkatan kadar hujan akibat perubahan iklim.

“Bagi masyarakat India khususnya, Kerajaan Negeri menyedari bahawa perlu ada usaha untuk meningkatkan daya saing komuniti ini dengan memupuk semangat keusahawanan yang menjadi aset penting bagi Negeri Selangor,” katanya menerusi Perutusan Deepavali hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Karnival Usahawan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) yang telah membantu lebih 400 individu dengan menyalurkan peralatan bersesuaian dengan perniagaan yang diusahakan.

“Usahawan-usahawan ini turut menjalani sesi-sesi bimbingan yang dikendalikan oleh Yayasan Hijrah Selangor — satu pendekatan jangka panjang bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan bukannya sementara. Kerajaan Negeri juga memahami bahawa aspekpendidikan merupakan antara elemen penting untuk melahirkan generasi muda yang boleh bersaing di arena antarabangsa.

“Dengan dorongan itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada 97 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama Amirudin turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh komuniti Hindu dan Sikh di seluruh negara berkenaan. – MalaysiaGazette