KUALA SELANGOR – Golongan usahawan perlu merebut kesemua peluang dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan apabila Bajet 2023 dilaksanakan nanti.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lepas bersifat menyeluruh termasuk membantu golongan usahawan bangkit selepas pandemik Covid-19.

Katanya, Bajet 2023 adalah peruntukan terbesar buat Keluarga Malaysia dengan nilai peruntukan RM372.3 bilion.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, terdapat pelbagai inisiatif disediakan untuk usahawan bagi membina daya tahan sektor perniagaan mereka antaranya menambah baik program SemarakNiaga.

“Bajet ini sememangnya ada berita baik buat usahawan semua. Bagi merancakkan dan membina daya tahan sektor perniagaan, kerajaan telah mencadangkan untuk menambahbaik program SemarakNiaga dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion.

“Sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia khas sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Puncak Alam di sini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bercadang memberi geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dengan kira-kira sejuta perniagaan bakal menerima manfaat itu menerusi peruntukan keseluruhan RM1 bilion.

Mengenai tahun taksiran 2023 ujar beliau, kerajaan telah mencadangkan agar kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Katanya, perkara itu dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada sejumlah 150,000 PMKS.

Beliau turut memberi jaminan Bajet 2023 yang dibentang awal Oktober lepas adalah yang terbaik untuk semua golongan.

“Pembentangan bajet 2023 ini perlu dibuat sekali lagi kerana pembubaran Parlimen. Jikalau bajet itu perlu dibentangkan semula, itu terpulang kepada Kabinet yang dibentuk, kerajaan baharu yang dibentuk.

“Jadi, di sini adalah harapan saya bahawa kalau ada bajet dibentangkan semula, mestilah lebih bagus daripada bajet ini, kalau tidak apa gunanya kita bentangkan bajet sebegini.

“Kalau ada cadangan-cadangan yang baik, kalau peruntukan itu ada, kalau peruntukan kewangan kita membenarkan kita bolehlah tambah baik bajet ini.

Pada karnival itu seramai 10,000 pengunjung hadir berbanding sasaran awal 4,000 orang. – MalaysiaGazette