Lim Guan Eng.-Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mempersoalkan peruntukan yang rendah dalam Bajet 2023 kepada masyarakat India dan Cina dalam perutusan sambutan perayaan Deepavali hari ini.

Pengerusi DAP itu berkata, bajet tersebut memperuntukkan RM11.7 bilion kepada masyarakat bumiputera dan Orang Asli.

Bagaimanapun hanya RM345 juta disediakan dalam Bajet 2023 kepada masyarakat Cina dan India.

Dalam kenyataannya, Guan Eng yang mendakwa kaum India termasuk dalam golongan terpinggir perlu memastikan suara mereka mendapat perhatian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Tiada siapa yang menentang peruntukan RM11.7 bilion yang diberikan tetapi mengapa hanya RM345 juta kepada masyarakat India dan Cina, tidak sampai tiga peratus daripada yang diberikan kepada masyarakat bumiputera dan Orang Asli.

“Ketika kos sara hidup semakin tinggi, kadar faedah yang dijangka terus naik, kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS (Ameriksa Syarikat) dan Singapura, semuanya telah menjejaskan mata pencarian rakyat dan komuniti perniagaan, terutamanya PKS.

“Jika kita terus mengamalkan dasar-dasar yang terbukti gagal atau membenamkan kepala kita ke dalam pasir seperti burung unta kerana tidak mahu ambil peduli, maka masalah kita pasti akan meruncing,” katanya.

Serentak itu Guan Eng meminta rakyat menolak individu yang bercita-cita menjadi ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri hanya untuk satu kaum sahaja.

Rakyat, kata beliau, perlu menolak wakil rakyat yang menafikan dan tidak menghormati hak asasi dan gaya hidup masyarakat minoriti.

“Marilah kita bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang inklusif, menyubur kemakmuran dan kesaksamaan ekonomi.

“Menghargai kepelbagaian kaum dan keharmonian agama, menghormati Perlembangaan Persekutuan dan hak sesama rakyat Malaysia yang inklusif, menyubur kemakmuran dan kesaksamaan ekonomi, menghargai kepelbagaian kaum dan keharmonian agama.

“Menghormati Perlembagaan Persekutuan dan hak sesama rakyat Malaysia, serta memperjuangkan keadilan sosial, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” kata beliau.

Guan Eng menegaskan dalam menyambut pesta cahaya Deepavali rakyat Malaysia turut berkongsi tanggungjawab untuk membawa cahaya kepada negara. – MalaysiaGazette